Sistem amaran kanak-kanak hilang berjaya, namun masih ada ruang tambah baik


Alfian Z.M. Tahir

Dengan sistem Nur Alert, apabila amaran dicetuskan, maklumat kanak-kanak hilang akan muncul di skrin mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di seluruh negara, laman web milik agensi kerajaan, SMS alert, Facebook dan papan tanda elektronik. – Gambar laman web Nur Alert, 4 Ogos, 2018.

DUA puluh lapan daripada 35 kes kehilangan kanak-kanak yang dilaporkan sejak tujuh tahun lalu diselesaikan menerusi sistem amaran awal National Urgent Response (Nur) Alert yang diperkenalkan oleh polis untuk menghalang kehilangan kanak-kanak.

Kes ini membabitkan kanak-kanak di bawah umur 12 tahun sama ada diculik atau hilang akibat kelalaian ibu bapa atau penjaga mereka. 

Nur Alert diperkembang berdasarkan sistem amaran Amber Amerika Syarikat  — sebuah sistem amaran kecemasan yang memaklumkan pihak polis dan komuniti menerusi rangkaian komprehensif bagi mengesan kanak-kanak hilang. 

Di Malaysia, Nur Alert dikendalikan oleh Bahagian Siasatan Seksual, Wanita & Kanak-Kanak (D11).

Pegawai penyiasat unit berkenaan Deputi Supritendan E. Saroja memberitahu The Malaysian Insight, polis mengambil alih sistem ini daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada 2011 dan sejak itu berjaya menemukan kanak-kanak yang hilang dengan keluarga mereka. 

“Daripada 35 amaran dari 2011 hingga 2018, 28 kanak-kanak hilang telah ditemui dan diselamatkan. Tujuh lagi masih hilang,” kata Saroja. 

Katanya, Nur Alert memberi kesan langsung apabila ia dilancarkan dalam aplikasi di Facebook pada 2016. 

Daripada tiga kes, dua diselesaikan dan satu lagi masih disiasat.

“Insiden pertama berlaku di Cheras di mana kanak-kanak lelaki hilang dan ditemui enam jam kemudian. Dengan bantuan sistem Nur Alert kita berjaya mengesan kanak-kanak itu. 

“Insiden kedua adalah di Bukit Puchong di mana ia mengambil masa lapan jam untuk mengesan kanak-kanak yang hilang. Notis yang dimuat naik di Facebook pada jam 2,30 petang dan kanak-kanak terbabit kemudiannya ditemui pada jam 11 malam,” kata Saroja. 

Nur Alert sebelum ini dikenali sebagai Nurin (Nationwide Urgent Response Information Network) Alert.

Sistem itu diperkenalkan selepas penculikan dan pembunuhan kanak-kanak lapan tahun Nurin Jazlin Jazimin pada 2007. 

Nurin hilang selepas menuju ke pasar malam, yang terletak kira-kira 100 meter daripada rumah keluarganya di Wangsa Maju, Kuala Lumpur namun tidak pulang ke rumah. 

Kira-kira sebulan kemudian, mayat Nurin ditemui disumbat dalam sebuah beg. Nurin menjadi mangsa serangan seksual dan dijerut. 

Saudara mara Nurin dan rakan kemudian mendraf kertas cadangan Nurin Alert dan menghantarnya kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada 2008. 

Dengan sistem ini, apabila amaran dicetuskan, maklumat kanak-kanak hilang akan muncul di skrin mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di seluruh negara, laman web milik agensi kerajaan, SMS alert, Facebook dan papan tanda elektronik. 

Ia membabitkan kerjasama strategik antara kerajaan, sektor swasta dan badan bukan kerajaan. 

Walaupun kadar kejayaan Nur Alert adalah tinggi, Saroja berkata, masih ada ruang penambahbaikan, terutama sokongan daripada agensi lain dan masyarakat umum. 

Bagaimanapun, jumlah kanak-kanak hilang berusia antara 13 dan 18 tahun adalah lebih tinggi. 

Dari 2014 hingga 2018, 7,703 kes dilaporkan yang mana 6,951 ditemui atau diselamatkan. 

“Kita tidak boleh klasifikasikan kanak-kanak ini sebagai diculik kerana kebanyakannya tiada ancaman atau tebusan. 

“Kebanyakannya hilang kerana lari bersama kekasih atau rakan atau lari dari rumah selepas bergaduh dengan ibu bapa mereka,” kata Saroja dan menambah terdapat juga kes kanak-kanak terbabit pulang ke rumah namun tidak dimaklumkan kepada polis. – 4 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen