DBKL digesa selenggara kemudahan di flat PPR


Melati A. Jalil

Ibu dan bapa Adam Ahmad iaitu Mohd Nazri Hanipah, 52 (kiri) dan Istiqamah Kayum, 39 bersama Nurul Izzah semasa sidang media di flat PPR Kampung Muhibbah, Bukit Jalil. - Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 21 Julai, 2017.

AHLI Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar hari ini menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memastikan penyelenggaraan kemudahan di flat Program Perumahan Rakyat (PPR), sambil menekankan kes seorang budak berusia 13 tahun yang terbunuh selepas dilanggar sebuah trak pikap dalam gelap baru-baru ini.

Kemalangan pada Isnin lalu berlaku pada waktu malam di luar flat PPR di Kampung Muhibbah, Bukit Jalil, di mana lampu jalan dilaporkan rosak.

“Saya dimaklumkan lampu hadapan kenderaan itu tidak menyala. Lampu jalan juga tidak berfungsi. Tak semua lampu jalan di sini berfungsi dengan baik,” kata bapa Mohd Nasri Hanipah, bapa kepada Adam pada pertemuan dengan Nurul Izzah hari ini.

Nurul Izzah yang sebelum ini melawat keluarga itu berkata, penduduk PPR sering menghadapi masalah seperti kerosakan lif, lampu jalan rosak dan tempat letak kereta yang terhad.

“Buat masa ini kes itu di bawah siasatan polis, tetapi daripada laporan yang kami terima,  trak itu seperti dipandu sangat laju lalu melanggar mangsa.

“Saya tak mahu buat spekulasi, tetapi isu di sini ialah kerja penyelenggaraan. Kami segera meminta semua lampu di sini diselenggarakan dengan baik dan berfungsi. Kami juga mahu tempat letak kereta yang mencukupi,” kata Nurul Izzah sambil menambah surat kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur sudah dihantar.

Adam Ahmad sedang dalam perjalanan untuk bertemu rakannya yang tinggal di blok lain di flat yang sama ketika dilanggar trak pikap.

Anak ketiga daripada empat beradik itu meninggal dunia beberapa jam kemudian. Kematiannya adalah kemalangan pertama yang berlaku di kemudahan perumahan awam di Bukit Jalil dan menimbulkan tumpuan kepada isu kelemahan penyelenggaraan flat PPR.

“Rakan saya memanggil saya, memberitahu anak saya sedang nazak. Dia dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dengan ambulans tetapi doktor mengatakan ia sudah terlambat,” kata bapa Adam, 52 yang bekerja sebagai pemandu van. – 21 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen