SPRM tahan dua individu disyaki terbabit dalam pembelian hotel di London


Diyana Ibrahim

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua individu disyaki terlibat dalam penilaian harta dan harga bagi pembelian sebuah hotel di London yang dibuat Felda Investment Cooperation (FIC).

Kedua-duanya ditahan di pejabat SPRM kira-kira- jam 1 tengah hari ketika hadir untuk memberi keterangan berkaitan siasatan pembelian hotel empat bintang di Kensington antara tahun 2013 dan 2015.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM Azam Baki mengesahkan perkara itu dan berkata penahanan dibuat untuk membantu siasatan.

Menurut sumber, mereka yang ditahan merupakan pengarah sebuah syarikat perundingan pengurusan aset berusia 45 tahun.

Seorang lagi adalah ketua unit harta sebuah syarikat perkhidmatan pos yang berusia 36 tahun.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight, dua suspek terbabit didakwa memanipulasi harga hotel terbabit menyebabkan FIC terpaksa membayar jutaan ringgit melebihi harga pasaran.

Azam berkata, kedua-dua individu terbabit akan dibawa ke mahkamah Putrajaya esok untuk perintah reman.

SPRM merakam kenyataan 11 individu berhubung pembelian terbabit bagi membantu siasatan.

Berkemungkinan hotel yang dimaksudkan SPRM adalah Hotel Grand Plaza Kensington yang dibeli FIC pada Disember 2014 dengan harga £60 juta (RM330 juta).

Hote Grand Plaza Kensington merupakan hte bertaraf empat bintang yang mempunyai 62 bilik tetamu, terletak di awasan mewah di daerah Kensington dan Chelsea.

Ia merupakan pembelian pertama FIC dan kedua Felda.

Pembelian itu dibuat di bawah Ketua Pegawai Eksekutif FIC Mohd Zaid Abdul Jalil manakala Isa Samad merupakan oengerusi Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV), iaitu sebuah anak syarikat Felda. – 21 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen