PELAN induk untuk Kg Baru, Kuala Lumpur yang merupakan penempatan Melayu akan disemak semula, kata Khalid Samad.
Menteri wilayah persekutuan itu berkata, pihaknya perlu mengkaji semula pelan sedia ada dan meminta pandangan pakar.
“Kuala Lumpur terlalu membangun menjadi hutan konkrit.
“Kita perlukan pelan induk yang lebih moden untuk Kg Baru.
“Saya akan bangkitkan isu ini kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad,” katanya selepas menghadiri taklimat di Yayasan Kampung Baru di Jalan Raja Abdullah hari ini.
Khalid berkata, pembangunan semula Kg Baru belum dijalankan berikutan isu waris tanah di sini yang masih belum diselesaikan.
Khalid berkata perbincangan berhubung pelan induk berkenaan akan dibuat beberapa bulan akan datang.
“Pembangunan semula perlu dijalankan. Ia sesuatu yang kita tidak boleh halang.”
“Kita perlu melihat model perniagaan yang boleh dilaksanakan.
“Kita juga perlu melibatkan pihak berkepentingan.”
Khalid turut memberi jaminan kepada pemilik bahawa mereka akan menerima pampasan.
“Kita akan ikut harga pasaran dan kami akan memastikan pemilik akan diberi pampasan sewajarnya.”
Khalid berkata salah satu isu yang menyebabkan pembangunan itu tertangguh adalah untuk mencari waris tanah.
Untuk menangani isu tersebut, Khalid berkata mereka akan memulakan tabung amanah.
“Sekiranya gagal menemui waris kita akan mulakan tabung amanah dan bila kita menemui mereka, mereka akan diberi pampasan. – 27 Julai, 2018
Komen