DUA kumpulan yang berbalah berhubung kontroversi Pembebasan Harimau Tamil Eelam (LTTE) yang dikaitkan dengan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang Dr P Ramasany bertembung di Komtar, selepas selesai solat Jumaat, hari ini.
Kumpulan yang terdiri daripada orang Islam membantah Ramasamy, yang sering mengkritik penceramah Islam warga India Zakir Naik. Mereka tiba di tempat kejadian pada jam 2.50 petang.
Kumpulan lain pula mempertahankan pemimpin DAP itu dan mengecam pihak satu lagi kerana didakwa memutarbelitkan fakta bagi mencemarkan reputasi Ramasamy.
Mereka berucap mempertahankan Ramasamy pada jam 1 petang dan menunggu sehingga kumpulan satu lagi tiba.
Beberapa laluan masuk ke Komtar, yang menempatkan bangunan pentadbiran negeri, ditutup sejak awal tengah hari.
Kedua-dua kumpulan yang terdiri daripada 200 orang itu berkumpul di pintu masuk Lebuh Tek Soon di Komtar sebelum berarak sambil melaungkan slogan, dengan ada antara mereka memprovokasi pihak satu lagi sementara yang lain meminta supaya mereka bertenang.
Kedengaran seseorang menjerit “Diamlah, penyokong pengganas” sehingga polis terpaksa masuk campur dan meminta kumpulan terbabit menghentikan provokasi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut Anuar Omar dilihat mendekati pemimpin kumpulan orang Islam, wakil Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Muhammad Yusuf Azmin, untuk berunding.
Azmin kemudian menyerahkan memorandum kepada kakitangan Ramasamy. Memorandum tersebut antara lain mendesak Ramasamy meletak jawatan, menggesa kerajaan negeri mengambil tindakan terhadap beliau, selain meminta polis melakukan siasatan.
Kumpulan Islam lain turut menyerahkan memorandum yang mengandungi tuntutan sama.– 27 Julai, 2018.
Berita penuh di sini.
Komen