Ceramah 1MDB 'istimewa' selama dua hari di kubu Umno


Looi Sue-Chern

Pakatan Harapan akan mengadakan ceramah berkaitan 1MDB di Sungai Acheh and Balik Pulau pada hujung minggu depan. - Gambar The Malaysian Insight oleh Looi Sue-chern , 21 Julai, 2017.

PAKATAN Harapan (PH) mempunyai “dua malam istimewa” di Pulau Pinang pada hujung minggu depan untuk Jelajah 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ceramah itu akan diadakan di Dewan Serbaguna JKKK Simpang Tiga di Sungai Acheh, Nibong Tebal pada 28 Julai dan Dewan Balora di Kongsi, Balik Pulau di Pulau Pinang pada 29 Julai. Kedua-dua acara akan bermula pada jam 9 malam.

Ini akan menjadi ceramah kedua dan ketiga PH berkaitan 1MDB di Pulau Pinang dan dalam kerusi luar bandar yang dipegang Umno. Yang pertama adalah di Penaga, Kepala Batas awal bulan ini.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pulau Pinang Yaakob Osman berkata, kerusi Parlimen Sungai Acheh di Nibong Tebal dan seluruh kerusi Parlimen Balik Pulau adalah kawasan yang kecil, hampir tidak dimenangi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya lepas.

“Ini adalah kawasan di mana ramai penduduk luar bandar jarang mendapat maklumat daripada media sosial atau media alternatif. Sebab itulah kita perlu bawa isu 1MDB jauh ke kawasan majoriti Melayu secara langsung.

“Kami akan bersungguh-sungguh mempromosikan kedua-dua acara itu, memujuk semua orang - tanpa mengira sama ada mereka menyokong PH atau BN - untuk datang dan mendengar,” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat DAP Pulau Pinang hari ini.

Pada pilihan raya umum lalu, Mahmud Zakaria (Umno) mengekalkan Sungai Acheh dengan hanya 808 undi dalam pertarungan tiga penjuru dengan PKR dan PAS. Ia adalah satu-satunya kerusi negeri di Nibong Tebal yang dimenangi BN manakala selebihnya dibolot PKR dan DAP.

Sementara itu, Balik Pulau dan ketiga-tiga kerusi negeri masing-masing dimenangi BN dalam pilihan raya lepas dengan majoriti tipis.

Dr Hilmi Yahaya daripada Umno menang kerusi Parlimen dengan majoriti 1,539 undi, manakala Bayan Lepas dimenangi Nordin Ahmad (Umno) dengan 458 undi. Muhamad Farid Saad (Umno) memenangi Pulau Betong dengan majoriti 395 undi manakala Shah Ketua Ayoob Shah (Umno) di Teluk Bahang dengan majoriti 801 undi.

Yaakob, yang berasal dari Nibong Tebal adalah salah seorang penceramah yang akan menyertai “Pakar 1MDB” Tony Pua, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, Timbalan Ketua Pemuda Amanah Faiz Fadzil, Ketua PKR Pulau Pinang dan Ahli Parlimen Nibong Tebal Mansor Othman. Turut serta ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jawi Soon Lip Chee dalam ceramah di Sungai Acheh.

Bagi acara Balik Pulau pula, Tony Pua bersama Nurul Izzah dan Faiz akan disertai ketua Bersatu Pulau Pinang Marzuki Yahya dan Adun Air Itam Wong Hon Wai.

Naib Pengerusi DAP Pulau Pinang Zairil Khir Johari berkata, penganjur berharap dapat mengulangi kejayaan ceramah Penaga di Sungai Acheh dan Balik Pulau.

Ceramah pertama menarik lebih daripada 200 orang di bandar kecil itu. PH menemui beberapa masalah semasa mempromosikan acara apabila kain rentang dan bendera parti itu dibuang “secara misteri” oleh individu yang tidak diketahui tidak lama selepas diletakkan untuk memaklumkan penduduk tempatan mengenai ceramah itu. Ramai penduduk tempatan tidak tahu tentang acara itu hingga ke minit akhir.

“Kami berharap semua yang ingin tahu mengenai 1MDB dan impaknya terhadap rakyat akan datang dan mendengar, terutamanya untuk melihat pembentangan Tony Pua. Ini akan membantu mereka memahami skandal itu lebih terperinci.

“Kami ingin menjelaskan kepada rakyat apa maknanya skandal dan berlian itu kepada semua rakyat Malaysia di kampung dan bandar, dan apa yang boleh kita lakukan,” katanya.

Jelajah 1MDB diumumkan Ketua Pembangkang Dr Wan Azizah Wan Ismail bulan lalu, berikutan saman sivil terbaru oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) untuk mendapatkan aset bernilai berbilion ringgit yang dibeli dengan wang yang didakwa dicuri daripada 1MDB.

Antara aset yang dibeli dengan wang yang dikatakan dicuri itu ialah barang kemas, termasuk berlian merah jambu pada seutas rantai untuk isteri “Malaysian Official 1 (MO1)”. – 21 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen