Ibu remaja mati akibat kerusi melayang desak pembunuh ditangkap


Noel Achariam Ravin Palanisamy

S. Kasthuribai, 45, berkata beliau akan buat apa saja untuk menegakkan keadilan untuk anak bongsunya S. Satishwaran jika pihak berkuasa tidak mengambil sebarang tindakan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Julai, 2018.

TUJUH bulan sudah berlaku sejak S. Kasthuribai kehilangan anak lelakinya berusia 14 tahun yang terbunuh selepas sebuah kerusi “melayang” dari tingkat atas rumah pangsa Seri Pantai, kediaman mereka.

Tetapi sakitnya kehilangan S. Satishwaran masih terasa seperti ia baru saja berlaku, kerana Kasthuribai berkata polis masih gagal menemui siapa pembunuhnya, walaupun si pelaku itu kemungkinan besar tinggal di blok yang sama dengan mereka.

Selagi pihak yang bersalah itu tidak ditangkap oleh pihak berkuasa, selagi itulah tiada penutup bagi kesedihan Kasthuribai.

“Apa yang lama sangat polis buat untuk mencari suspek itu sedangkan mereka tahu orang itu sebenarnya tinggal di blok yang sama dengan saya,” katanya ketika ditemu bual The Malaysian Insight, baru-baru ini.

“Lebih enam bulan sudah berlaku dan polis masih belum tangkap orang yang bunuh anak saya.

“Saya masih lagi merana kerana kehilangannya dan polis pula tidak ambil tindakan.”

Kasthuribai, 45, berkata beliau akan buat apa saja untuk menegakkan keadilan untuk anak bongsunya itu jika pihak berkuasa tidak mengambil sebarang tindakan.

“Saya tidak akan biarkan begitu saya. Saya mahukan keadilan untuk anak saya. Mungkin saya akan ambil peguam dan bawa kes terhadap polis kerana bertindak,” katanya.

Satishwaran terbunuh pada 15 Januari apabila sebuah kerusi melayang dari tingkat 21 rumah pangsa kos rendah itu. Kerusi berkenaan terkena kepalanya dan mangsa meninggal dunia serta-merta akibat kecederaan serius di kepalanya, dalam insiden pada jam 8.15 malam itu.

Kasthuri, yang kembali bekerja di sebuah restoran di Bangsar sebulan lalu, berkata memori kejadian itu masih kuat di ingatannya dan beliau akan menangis apabila terkenangkannya.

“Saya tidak boleh lupakan apa yang berlaku. Ia berlaku dalam sekelip mata dan tiba-tiba anak saya sudah tiada. Saya akan menangin jika terfikir tentangnya, walaupun ketika sedang bekerja.

“Sungguh mengecewakan dan kami tidak pernah hidup tenang sejak kematiannya,” katanya.

Seorang lagi anaknya, S. Yogeswaran, 18 berkata kenangan paling indah mereka berdua ialah ketika keluar rumah secara senyap-senyap untuk bermain bola sepak.

“Kami biasanya bohong sunat dengan ibu dan kemudian pergi berjumpa kawan-kawan di padang.

“Sekarang dia sudah tiada, saya jarang ke sana lagi. Ia tidak lagi sama,” katanya.

Yogeswaran berharap individu yang membunuh Satishwaran akan ditangkap.

“Saya berasa sangat sedih dan sendirian sekarang. Saya hilang adik dan kawan saya,” katanya.

Pada Mac, seorang wanita berusia 23 tahun ditahan dan direman selama tiga hari berhubung dengan kematian Satishwaran, tetapi kemudiannya dibebaskan selepas menjalani ujian pengesan bohong. Polis juga mencatatkan kenyataan daripada 43 orang dan analisis tekanan suara (VSA) digunakan terhadap lima suspek tetapi hasilnya negatif.

Sejak kejadian itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur juga memasang jaring keselamatan di atas laluan pejalan kaki hingga ke lif flat dan mengupah beberapa tukang cuci.

Suri rumah Maspiah Meor Jamaludin, yang tinggal di rumah pangsa selama 15 tahun, mengatakan pihak berkuasa perlu mencari orang yang bertanggungjawab.

“Kami tidak mahu kejadian sama berulang lagi di sini,” kata wanita berusia 58 tahun itu, yang memberitahu The Malaysian Insight beliau berasa tidak selamat berjalan di tingkat bawah flat kerana ada kawasan yang tidak dilindungi oleh jaring keselamatan dan tidak berbumbung.

Seorang lagi penduduk flat, Mohd. Yunos Radi, berkata penghuninya masih membuang barang-barang dari tingkat.

Beliau mendakwa ia menjadi budaya sejak 1960-an bagi mereka yang tinggal di kawasan perumahan kos rendah.

“Walaupun tidak besar sebagai peti sejuk atau perabot, orang masih membuang sisa makanan, botol air, tin minuman dan sisa lain di sini.

“Kebiasaan membuang sampah dari tingkat atas menjadi budaya penduduk di kawasan perumahan kos rendah dan ia bukan sesuatu yang baru. Ia berlaku sejak bertahun-tahun,” kata lelaki berusia 88 tahun itu.

The Malaysian Insight sedang menghubungi ASP Mohd Firdaus Sharil dari Balai Polis Pantai untuk maklumat lanjut mengenai status siasatan ke atas kematian Satishwaran. – 27 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen