BN guna isu penari serang Pakatan pada PRK Sungai Kandis


Chan Kok Leong

Calon BN Lokman Noor Adam memuat naik video penari di majlis tertutup kutipan dana untuk Tabung Harapan. – Gambar Instagram, 27 Julai, 2018.

MAJLIS tertutup untuk mengutip dana Tabung Harapan dijadikan bahan kecaman calon Barisan Nasional (BN), Lokman Noor Adam pada pilihan raya kecil (PRK) Sungai Kandis.

Lokman semalam memuat naik klip video pendek yang memaparkan penari daripada acara itu di akaun Instagram miliknya dan bertanya pendapat pesaingnya, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, mengenai tindakan Pakatan Harapan (PH) menggunakan penari LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) untuk mengumpulkan dana itu.

“Mampukah seorang Adun PH menyanggah perdana menteri atau timbalannya? Jika tidak, serahkan tugas itu kepada pembangkang dengan mengundi BN pada 4 Ogos,” kata Lokman.

Menurut seorang ahli jawatankuasa penganjur, Debra Moreira, program mengumpul dana itu adalah acara tertutup yang dianjurkan oleh komuniti perkapalan.

“Ia tidak ada kaitan dengan PH walaupun kami menyerahkan cek itu kepada Ahli Parlimen Tony Pua,” kata Moreira kepada The Malaysian Insight hari ini.

Moreira juga menyangkal tuduhan yang para penari adalah daripada kumpulan LGBT.

“Mempunyai penari dalam acara perkapalan tertutup adalah normal. Mereka adalah profesional dan tidak boleh diseret ke dalam isu ini.”

Acara yang berlangsung di Shah Alam pada Rabu lalu menarik kira-kira 200 syarikat logistik dan perkapalan dari Pelabuhan Klang yang berjaya mengumpul RM1 juta untuk Tabung Harapan.

Selain Pua, ahli politik lain yang hadir pada majlis tersebut termasuk Exco Selangor Ng Sze Han dan Timbalan Menteri Pelajaran Teo Nie Ching.

Calon PKR, Zawawi menafikan beliau menyokong penari di dalam majlis mengumpul dana.

“Saya harap ini menamatkan khabar angin dan acara itu tidak harus dieksploitasi demi tujuan politik,” kata guru agama dalam klip video yang dihantar kepada media hari ini.

PRK Sungai Kandis akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Lokman, Zawawi dan K. Murthy (bebas).

Ini adalah PRK pertama selepas pilihan raya umum pada 9 Mei. Kerusi itu kosong selepas kematian Ahli Dewan Undangan Negeri Mat Shuhaimie Shafiei pada 2 Julai. – 27 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen