Pulau Pinang catat 300 kes HFMD dalam tempoh 4 hari 


Looi Sue-Chern

PULAU Pinang mencatatkan hampir 300 kes terbaharu penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) sejak beberapa hari lalu.

Semalam, 96 kes dilaporkan, Selasa (75), Isnin (67) dan Ahad (61).

Bagaimanapun hanya 24 pesakit diwadkan di hospital kerajaan dan swasta, menurut laporan harian berhubung wabak itu oleh pejabat exco kesihatan negeri Dr Afif Bahardin.

Kebanyakan kes – 192 – dilaporkan di pulau.

20 sekolah, prasekolah dan pusat jagaan harian dan beberapa kelas ditutup di seluruh negeri berkenaan.

Antara sekolah yang ditutup adalah SJK (C) Kwang Hwa (13 kes) dan SJK (C) Moh Gee Pusat (7) di daerah barat daya, SJK (C) Beng Teik Pusat (2) dan SK Juara (2) di Seberang Perai Tengah.

Pulau Pinang merekodkan 2,696 kes HFMD tahun ini berbanding 1,117 dalam tempoh yang sama tahun lalu, menjadikan peningkatan sebanyak 141.4%.

Jumlah kes meningakt di seluruh negara, kecuali di Sabah dan Sarawak.

Awal minggu ini, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 35,886 kes dilaporkan dari 1 Januari hingga Isnin lalu.

HFMD merupakan jangkitan yang berpunca daripada sekumpulan virus. Ia merebak melalui sentuhan dengan pesakit, melalui najis dan air liur individu yang dijangkiti. Objek yang tercemar turut membantu menyebarkan wabak itu.

Dr Afif sebelum ini berkata, peningkatan kes di Pulau Pinang berikutan cuti persekolahan, bermakna kanak-kanak yang bercuti di tempat lain dijangkiti wabak dan kemudian berjangkit ketika mereka kembali ke sekolah.

Beliau berkata, troli pasar raya turut menyumbang kepada penularan wabak berkenaan.

Simptom HFMD termasuk demam, lepuh di tangan, kaki dan mulut.

Pesakit biasanya akan pulih dalam tempoh tujuh hingga 10 hari tanpa rawatan.

Bagaimanapun, Enterovirus 71 boleh menyebabkan komplikasi serius seperti ensefalitis, edema pulmonari, pendarahan dan miokarditis, yang boleh mengakibatkan kematian. – 26 Julai, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen