Artis boleh tolong kerajaan, kata Dr Mahathir


Noel Achariam

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengesa golongan artis membantu kerajaan melangsaikan hutang negara dalam apa sahaja cara yang mereka mampu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Julai, 2018.

DR Mahathir Mohamad berharap artis Malaysia boleh membantu kerajaan yang kini berdepan masalah kewangan.

Perdana menteri itu berkata ketika Pakatan Harapan berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-14, mereka mahu menyingkirkan kerajaan Barisan Nasional yang membuat hutang besar.

“Mereka (kerajaan BN) buat hutang besar dan hendak mufliskan negara.

“Ketika kita ambil alih, kita tak pernah terfikir masalah sebesar ini.

“Jika artis boleh menyumbang dalam apa sahaja cara kita sangat menghargainya,” katanya pada majlis minum petang bersama pemain industri hiburan di Putrajaya hari ini.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng sebelum ini mendedahkan hutang negara sebanyak RM1 trilion mencakupi RM686.8 bilion hutang persekutuan, RM199.1 bilion jaminan dan RM201.4 bilion untuk projek kerjasama kerajaan dan swasta.

Pengerusi Pakatan Harapan itu juga berkata tidak wujud kesetiaan dalam jentera kerajaan terdahulu.

“Tidak ada kesetiaan kepada kaum dan agama tetapi hanya setia kepada parti (BN).

“Dalam usaha membaiki negara kita perlukan pentadbiran yang betul dan itulah masalah yang kita hadapi sekarang.”

Dr Mahathir juga berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang memberi sumbangan kepada Tabung Harapan Malaysia.

“Jika kita pinjam dari bank dan tak bayar pinjaman ikut jadual kita akan muflis.

“Sekecil mana pun jumlah kita terimapun, kita amat berterima kasih kepada rakyat kerana kita akan mampu selesaikan sebahagian kecil masalah ini.”

Pada pertemuan itu, pemain industri hiburan juga membangkitkan beberapa isu yang mereka mahukan kerajaan bertindak. 

Antaranya adalah memulangkan cukai hiburan 25% dikutip setiap negeri kepada penerbit, mengekang masalah cetak rompak, pinjaman Syariah dan pindaan ke atas akta hak cipta.

Dr Mahathir berkata beliau akan membangkitkan semua kebimbangan itu kepada Kabinet.

“Saya akan bawa isu ini ke Kabinet dan mereka akan buat keputusan.

“Saya juga akan cuba berunding dengan negeri mengenai cukai dan membincangkan isu-isu lain dengan Kementerian Kewangan dan kementerian-kementerian berkaitan.” – 26 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen