PRK Langkawi hanya lawak, kata Annuar Musa


Kamles Kumar

Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa hari ini meminta maaf kepada pihak yang tersinggung dengan kenyataannya yang PRK mungkin akan diadakan di Langkawi pula. Kerusi Parlimen itu dipegang Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang berusia 93 tahun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Julai, 2018.

SETIAUSAHA Agung Umno Annuar Musa menarik balik kenyataannya tentang kemungkinan berlakunya Pilihan Raya Kecil di Langkawi, kerusi Parlimen yang dipegang Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata beliau hanya melawak dan rakyat sepatutnya tak tersinggung.

“Ia boleh berlaku di mana-mana, mungkin di Langkawi, mungkin di Bera atau malah di Ketereh. Saya melawak sahaja, jangan ambil hati,” kata Annuar kepada wartawan ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Kenyataan Annuar tentang Dr Mahathir yang sudah berusia 93 tahun dan kemungkinan berlakunya lebih banyak PRK dalam masa terdekat ketika berkempen untuk Barisan Nasional di Sungai Kandis dua hari lalu mengundang kemarahan ahli Bersatu. Dr Mahathir adalah pengerusi Bersatu dan Pakatan Harapan.   

Anak Dr Mahathir yang juga Timbalan Presiden Bersatu Mukhriz Mahathir turut mengecam kenyataan Annuar, menyifatkannya sebagai “sambil lewa”, lapor akhbar Berita Harian Online.  

“Saya fikir beliau membuat kenyataan sambil lewa. Ia sangat tidak wajar dan saya dengar ada seorang lagi, saya rasa seorang ahli Pemuda Umno, juga mengeluarkan kenyataan sama. Ia bukan satu kenyataan yang baik.

“Tetapi, kita lihat nanti. Seorang yang berusia 93 tahun mungkin boleh panjang umur hingga 100 atau 103 tahun, dalam tempoh 10 tahun lagi, atau mungkin sehingga 20 hingga 30 tahun.

“Siapa tahu? Kita ini yang tidak tahu berapa lama kita akan hidup. Ini semua kuasa Tuhan,” katanya dipetik akhbar berkenaan.                                  

Annuar kata PRK itu adalah “rahmat dari Tuhan” untuk BN bagi menguji kekuatan dan jenteranya.

“Sebelum habis Sg Kandis berkempen ada satu lagi di Balakong. Lepas ni Tuhan akan tentukan lagi banyak PRK. Tak tahu di mana, Langkawi ke mana. Jangan di Ketereh sudah atau pun Bera,” katanya.

Hari ini beliau meminta maaf kepada mereka yang tersinggung dengan kenyataan itu.

“Jika sesiapa terasa hati, saya akan minta maaf, tiada masalah,” katanya.

Beliau menambah yang beliau tidak ada masalah dengan Dr Mahathir dan menghormatinya selaku pemimpin Malaysia.

“Beliau ketua saya, orang yang baik, beliau PM, beliau wakil rakyat dan beliau ada kerja hendak buat.

“Anda perlu hormati PM, jangan buat lawak tentangnya. Beliau negarawan, beliau pemimpin kita,” kata Annuar. – 26 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen