Bebas untuk protes, namun hormati undang-undang, kata ketua menteri 


Looi Sue-Chern

DUA demonstrasi berasingan dirancang untuk diadakan di Pulau Pinang selepas solat Jumaat esok berhubung kontroversi yang menyelubungi Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II P. Ramasamy. 

Salah satu protes tersebut dibuat oleh kumpulan masyarakat Islam terhadapnya di perkarangan masjid di George Town, manakala satu lagi dibuat oleh mereka yang menyatakan sokongan terhadap pemimpin DAP itu di Komtar. 

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, rakyat bebas untuk menyertai demonstrasi, kerana terdapat hak kebebasan bersuara. 

“Semua orang bebas untuk bercakap dan menyatakan pandangan, namun saya berharap semua peserta (di kedua-dua demonstrasi) menghormati undang-undang. 

“Hormati hak pihak lain untuk menyatakan pandangan walaupun ia bertentangan. Hak untuk bersuara tidak boleh diancam oleh sesiapa sahaja,” katanya pada satu sidang media ketika diminta mengulas berhubung perkara itu.

Chow berkata beliau masih belum bercakap dengan pihak polis berhubung bantahan yang dirancang itu. 

“Saya tidak berbincang dengan polis. Saya percaya polis sedia maklum tentang perkara ini,” katanya. 

Ramasamy sebelum ini dituduh mempunyai kaitan dengan kumpulan militan Sri Lanka, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE)
 
Dakwaan itu, bersama gambar memaparkan beliau “memuja” raifel Kalashnikov yang menjadi simbol kumpulan bersenjata itu, tersebar di media sosial. 

Serangan ke atas timbalan ketua menteri tiga penggal itu berikutan kenyataannya terdahulu yang dibuat mengenai keputusan kerajaan untuk tidak mengekstradisi pendakwah kontroversi Dr Zakir Naik ke India, di mana pendakwah itu dikehendaki kerana didakwa terlibat dengan keganasan. 

Malah serangan itu turut ditambah dengan kritikan oleh Mufti Perlis Mohd Asri Zainal Abidin.

Terdahulu minggu ini, Chow juga berkata Ramasamy diminta menjelaskan perkara itu kepada DAP. 

Turut dilaporkan mereka setuju untuk mengadakan pertemuan tertutup di pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa akhir bulan ini untuk menyelesaikan perkara itu.

Minggu lalu, Ramasamy menjelaskan hubungannya dengan LTTE adalah kerana usaha rundingan damainya dalam konflik di Sri Lanka pada 2003. 

Beliau yang merupakan profesor di Universiti Kebangsaan Malaysia ketika itu, dilantik sebagai perunding berikutan kepakarannya dalam oengurusan konflik antarabangsa untuk membawa konflik bersenjata ke meja rundingan. – 26 Julai, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen