Peruncit sedia beralih kepada SST, kata persatuan 


Low Han Shaun

Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia berkata peruncit sedia beralih daripada GST ke SST berikutan sistem SST sebelum ini pernah digunapakai sebelum GST diperkenalkan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 26 Julai, 2018

PERUNCIT di Malaysia sedia untuk beralih daripada sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kepada Cukai Jualan dan Perhidmatan (SST), kata Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA).

Berhubung kebimbangan beberapa sektor bahawa tempoh tiga hari pelarasan terlalu pendek, Presiden MRCA Garry Chua Kah Seng berkata, sistem SST adalah lebih mudah berbanding dengan sistem GST dan menjangkakan peralihan yang lebih mudah daripada ketika GST mula dilaksanakan pada tahun 2015.

“Dari GST ke SST, kita sudah sedia ada sistem yang lama. 

“Sistem GST agak mahal untuk dilaksanakan dalam perniagaan, ini sebabnya kita nasihatkan ahli agar kekalkan perisian GST ketika SST dilaksanakan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Pameran Francais Runcit Antarabangsa di Kuala Lumpur hari ini. 

Persatuan Perusahaan Kecil Sederhana menjangkakan keadaan kacau bilai ketika peralihan kepada SST pada September, kerana hanya ada tiga hari untuk menukar sistem mereka sebaik sahaja cukai berkenaan dikuatkuasa. 

Presidennya Michael Yang memberitahu The Malaysian Insight baru-baru ini, sistem harga hanya boleh dibuat apabila undang-undang diluluskan dan digazetkan. 

Kerajaan menetapkan SST dikuatkuasakan pada 1 September. Ia menyasarkan untuk membentang usul SST minggu hadapan dan dijangka akan dilulus dan digazetkan pada 28 Ogos. 

SST menetapkan tiga kadar cukai, 0%, 5% dan 10% untuk barangan dan kadar rata 6% untuk beberapa perkhidmatan.

Hanya perniagaan yang memperoleh pendapatan leboh RM500,000 akan dikenakan cukai. 

Chua berkata, beliau menjangkakan harga barangan pengguna akan turun apabila SST dilaksanakan kerana hanya sedikit peruncit terbabit dalam kutipan cukai. 

“Lebih 450,000 syarikat ahli kami yang dikenakan GST, ketika SST sebelum ini hanya kira-kira 100,000 syarikat terlibat. 

“Jadi banyak barangan lain akan menyaksikan penurunan harga,” katanya. 

Tambah Chua, SST melibatkan tiga sektor, perkilangan, perkhidmatan dan import, yang mana katanya perlu bekerjasama dengan kerajaan dengan mengurangkan harga mereka sebelum peruncit boleh berbuat demikian. 

Beliau turut menggesa penguatkuasan lebih tegas terhadap peniaga yang cuba mengaut keuntungan lebih. 

Bagi trend runcit masa akan datang kata Chua, kerajaan harus menyokong pendigitalan sektor runcit dalam bentuk pengecualian cukai.

“Sektor peruncitan perlu seimbang secara offline dan online,” katanya. 

“Kami galakkan ahli kami untuk beralih kepada digital ini sebabnya kita mempunyai keahlian digital seperti Lazada, Lelong dan Mudah dan lain-lain. Beralih ke digital adalah cara untuk bertahan dalam jangka masa panjang. 

“Sekiranya kerajaan tidak boleh memberikan geran untuk pendigitalan, sekurang-kurangnya bagi kami pengecualian cukai,” katanya. – 26 Julai, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen