KHAZANAH Nasional Berhad bukan ditubuhkan sebagai sebuah entiti untuk memperkasakan Bumiputera sebagaimana yang didakwa oleh Dr Mahathir Mohamad, kata Najib Razak.
Bekas perdana menteri itu berkata syarikat dana negara itu “dibayangkan untuk menjana pendapatan kepada negara” sebaliknya membantu usahawan Bumiputera seperti Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB).
“Khazanah tidak pernah ditubuhkan dengan niat untuk membantu Bumiputera..yang tidak pernah menjadi raison d’être.
Tidak seperti Teraju dan PUNB, ia mereka diwujudkan untuk usahawan Bumiputera.
“Khazanah dibayangkan sebagai sebuah institusi bagi mewujudkan kekayaan kepada negara. Sebaik sahaja kekayaan diwujudkan, mereka akan kembalikan kepada negara. Insititusi seperti Khazanah sama seperti Temasek yang ditubuh untuk mencipta bakat,” kata Najib kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, adalah di luar pengetahuan beliau ahli lembaga pengarah Khazanah menawarkan peletakan jawatan mereka walaupun beliau sendiri sebelum ini pernah memegang jawatan sebagai ahli lembaga pengarah.
Sebelum ini, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mendakwa Khazanah telah lari daripada matlamat asal penubuhannya untuk memegang saham yang diperuntukkan kepada Bumiputera.
Najib turut memberi amaran sekiranya situasi dengan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) berterusan, ekonomi negara akan berdepan masalah.
“Saya bimbang dengan masa depan sektor korporat di negara ini.”
The Malaysian Insight hari ini melaporkan seluruh ahli lembaga pengarah telah menghantar surat peletakan jawatan tidak bertarikh mereka minggu ini kepada Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc).
Khazanah hari ini mengesahkan kesemua ahli lembaga pengarahnya menawarkan untuk meletakkan jawatan bagi “membantu melancarkan dan memudahkan peralihan” di bawah kerajaan Pakatan Harapan yang baru dibentuk.
Khazanah Malaysia merupakan syarikat dana negara yang mempunyai kepentingan strategik di kesemua sektor termasuk kewangan, kesihatan, telekomunikasi, penerbangan dan utiliti.
Ahli lembaga pengarah Khazanah sekarang terdiri daripada sembilan orang – pengarah urusan Azman Mokhtar, Md Nor Md Yusof, Mohamed Azman Yahya, Mohammed Azlan Hashim, Raja Arshad Raja Uda, Andrew Sheng Len Tao, Nazir Abdul Razak, Nirmala Menon dan Yeo Kar Peng.
Ahli lembaga pengarah yang baharu berkemungkinan akan dinamakan seawal hari ini, menurut sumber.
Sejak beberapa minggu lalu, ketua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan telah meninggalkan syarikat atau tidak memperbaharui kontrak mereka, termasuk pengerusi Permodalan Nasional Berhad Abdul Wahid Omar, yang meletakkan jawatan pada Jun selepas gagal untuk berjumpa Dr Mahathir. – 26 Julai, 2018
Komen