BEKAS perdana menteri Najib Razak memberi amaran, tindakan kerajaan Pakatan Harapan membatalkan dan mengkaji semula projek yang diluluskannya sebelum ini akan memberi kesan buruk kepada negara.
Jelasnya, tindakan itu akan memberi kesan tidak tentu dalam pasaran dan juga kebimbangan di kalangan pelabur.
“Tidak perlu bagi mereka membatal atau mengkaji semua segala perkara. Jika mereka melakukannya secara menyeluruh, akan berlaku ketidaktentuan dalam pasaran.
“Kerajaan sekarang ini membimbangkan rakyat dan juga ahli perniagaan,” katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen hari ini.
Beliau membangkitkan perkara itu kepada kerajaan yang kini sedang mengatur kunjungan rasmi perdana menteri ke China bagi merundingkan semula beberapa projek bernilai AS$34 bilion melibatkan republik itu.
Menurut kerajaan, projek infrastruktur berkenaan memberi lebih keutamaan kepada China dan melibatkan jumlah pinjaman yang besar dengan republik berkenaan.
Antara projek berkenaan adalah Landasan Kereta Api Pantai Timur bernilai RM60 bilion dan juga projek saluran paip gas kontroversi RM9.4 bilion.
Projek saluran paip gas itu melibatkan pembinaan Saluran Paip Pelbagai Produk dan Saluran Paip Gas Trans-Sabah yang dilaksanakan oleh syarikat yang disyaki ada kaitan dengan syarikat bermasalah, 1Malaysia Development Bhd.
Terdahulu dalam ucapannya di Dewan Rakyat, Najib mendakwa ekonomi negara juga akan ketinggalan sekiranya Malaysia tidak membina hubungan baik dengan China.
Katanya, pada masa ini, Malaysia sudahpun ketinggalan berbanding Indonesia kerana China lebih berminat membeli minyak sawit dari negara jiran itu.
“Pada 12 Julai syarikat China beli tambahan 726 juta dolar Amerika, kesannya negara kita akan terus ketinggalan jika tiada hubungan diplomatik baik,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong.
Amaran itu adalah rentetan kepada dakwaannya sebelum pilihan raya 9 Mei bahawa China akan mengurangkan import minyak kelapa sawit dari Malaysia jika PH mengambil alih kerajaan.
Najib seterusnya dalam ucapannya membangkitkan kebimbangan bahawa kerajaan akan meminggirkan golongan peneroka dan peserta tanah rancangan seperti yang didakwanya berlaku semasa pentadbiran Dr Mahathir sebelum ini.
“Era dulu bila Langkawi jadi PM, Felda dan pertanian bukan keutamaan sebab memberi tumpuan pada perindustrian dan pembuatan kereta dan keluli,” katanya.
Malah kerajaan juga menghentikan pembiayaan kepada Felda sewaktu Dr Mahathir menjadi perdana menteri selama 22 tahun sebelum ini, dakwanya.
Itulah yang memaksa beliau melaksanakan menyenaraikan Felda Global Ventures pada 2012 untuk menyediakan kos tanam semula dan menambah kebajikan peneroka, dakwanya.
“Jika tidak sedia dana itu, tidak mustahil jika pokok semakin tua dan hasil menyusut. Felda mungkin tidak wujud lagi 20 tahun lepas itu,” katanya. – 26 Julai, 2018.
Komen