MENTERI Kewangan Lim Guan Eng berkata surat yang kononnya dihantar oleh bekas agensi risikan kerajaan kepada Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA) bagi menyokong Barisan Nasional (BN) adalah tindakan menghina kedaulatan Malaysia.
Beliau pada masa sama menggesa pihak berkuasa menyiasat jika ada rayuan serupa dihantar sebelum hari membuang undi PRU14 pada 9 Mei.
“Ini tindakan yang sangat drastik kerana ia membabitkan kedaulatan negara. Ini mengajak kuasa asing untuk campur tangan dalam hal ehwal negara,” katanya kepada wartawan ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.
“Ini membangkitkan banyak persoalan tentang surat itu. Pada masa sama, kami ingin tahu adakah surat itu dihantar ke negara lain? Ada lagi surat-surat ini?,” katanya.
Lim menggesa pihak berkuasa berkenaan menyiasat perkara berkenaan dengan teliti kerana ia membabitkan kebebasan dan keselamatan Malaysia.
Beberapa hari lalu, salinan surat yang dikatakan dihantar oleh Jabatan Penyelidikan di bawah Jabatan Perdana Menteri kepada Pengarah CIA Gina Haspel, lapor media.
Surat itu bertarikh lima hari sebelum PRU14, memohon sokongan untuk pentadbiran bekas perdana menteri Najib Razak walaupun hanya menang tipis.
Surat itu ditandatangani oleh bekas ketua pengarah unit berkenaan Hasanah Ab Hamid.
The Malaysian Insight cuba menghubungi Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun, timbalannya Noor Rashid Ibrahim, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Persekutuan Wan Ahmad Najmuddin Mohd dan Pengarah Cawangan Khas Abdul Hamid Bador untuk komen, tetapi masih belum menerima maklum balas.
Semalam, kumpulan Patriot mengecam polis kerana gagal melakukan siasatan terhadap surat berkenaan. – 26 Julai, 2018.
Komen