MENTERI Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali menangkis dakwaan pembangkang bahawa jemaah menteri berada bawah arahan Majlis Penasihat Kerajaan.
Tegasnya, peranan Majlis tersebut hanyalah untuk mengkaji laporan dan memberi “saranan” yang tertakluk kepada sokongan dan tindakan Kabinet.
“Keseluruhan Majlis itu bertindak sebagai satu kumpulan, bukan sebagai individu.
“Mereka kemuka pelbagai saranan kepada kerajaan, dan kita boleh putuskan sama ada terima atau setuju atau sebaliknya.
“Tidak benar (dakwaan) bahawa Majlis perintahkan dasar kepada kerajaan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Dakwaan berkenana antaranya ditimbulkan oleh setiausaha agung Umno, Annuar Musa yang mendakwa bidang kuasa Majlis tersebut lebih besar berbanding kuasa menteri.
Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dari Umno pula mendakwa bekas menteri kewangan Daim Zainuddin, yang mempengerusikan majlis penasihat itu, bertindak di luar bidang kuasanya.
Khairy mengaitkan kunjungan Daim ke China dalam kapasiti utusan tidak rasmi baru-baru ini untuk berunding mengenai projek mega yang ditangguhkan kerajaan baharu Pakatan Harapan.
Sementara itu, seorang lagi menteri Salahuddin Ayub menjelaskan, Majlis tersebut tidak memberi arahan kepada Kabinet namun mereka mengalu-alukan saranan daripada jawatankuasa berkenaan.
“Ini pendekatan baru kita. Apa salahnya jika kita ada Majls yang memberi nasihat memandangkan mereka berkelayakan, berpengalaman dan pakar dalam bidang masing-masing,” katanya.
Selain Daim, Majlis tersebut dianggotai bekas gabenor Bank Negara Zeti Akhtar Aziz, jutawan Robert Kwok, bekas ketua pegawai eksekutif Petronas Hassan Marican dan ahli ekonomi terkemuka, Jomo Kwame Sundaram.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada 12 Mei lalu mengumumkan, jangka masa kewujudan Majlis tersebut hanyalah dalam tempoh 100 hari selepas penubuhannya pada tarikh tersebut.– Bernama, 26 Julai, 2018.
Berita penuh di sini.
Komen