Ribuan datang beraya bersama Dr Mahathir di Pulau Pinang


Looi Sue-Chern

Dr Mahathir Mohamad malam ini menghadiri acara rumah terbuka Bersatu di Pulau Pinang yang menarik lebih 5,000 orang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Looi Sue-Chern, 20 Julai, 2017.

PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad menarik ribuan orang semasa acara rumah terbuka peringkat negeri parti itu di Pulau Pinang malam ini.

Jalan Burma penuh sesak dengan orang ramai yang menuju ke tempat acara itu dijalankan, di bangunan Long Say. Bunga api diletupkan di udara apabila bekas perdana menteri itu tiba sekitar jam 8.20 malam.

Orang ramai juga memenuhi pintu masuk ketika dia sampai di pintuk masuk dewan- semuanya berharap dapat bergambar dengan Dr Mahathir dan bersalam dengannya. Pengerusi Bersatu itu menerima tepukan gemuruh sehinggalah dia sampai di meja VVIP.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata dia terperangkap dalam kesesakan lalu lintas selama 20 minit sebelum sampai di tempat acara. Dia sampai beberapa minit selepas ketibaan Dr Mahathir.

“Dah lama kita tak sesak begini di sini tetapi bagus juga. Maknanya (Perdana Menteri) Najib Razak pun tengah sesak,” katanya dalam ucapan di majlis itu.

Dr Mahathir berkata yang dia gembira melihat rakyat pelbagai kaum menghadiri rumah terbuka itu, petanda yang Bersatu diterima semua kaum.

Dia memberitahu khalayak yang hadir yang PH, selaku pakatan sudah mengadakan bermesyuarat yang dihadiri semua parti komponen pembangkang.

“Ia menunjukkan hasrat kita untuk menyatukan semua parti pembangkang, sejak kita mengisytiharkan Deklarasi Rakyat,” katanya dalam ucapan itu lagi.

“Walaupun (pemimpin veteran DAP) Lim Kit Siang dan saya bukanlah kawan baik- kami musuh sebenarnya- tetapi apabila soal Deklarasi Rakyat, kami pemimpin parti berbeza akan bersama untuk menyokong gerakan ini.

“Ini ialah kali pertama saya bersama Kit Siang. Ramai penyokong saya tidak gembira dengan dan sokongan saya pun jatuh.

“Tetapi sekarang naik balik. Tiada bantahan terhadap kerjasama saya dengan (ketua umum PKR) Anwar Ibrahim dan Kit Siang. Kami ada matlamat yang sama iaitu untuk menjatuhkan kerajaan penyangak,” katanya.

Dr Mahathir berkata yang PH akan bekerja keras untuk pilihan raya akan datang dan bertanding di bawah satu logo dan bendera, yang akan menjadikan pakatan pembangkang cukup kuat bagi menyingkirkan pemerintah sekarang.

Katanya lagi dia menjangkakan Najib akan memberi duit kepada pengundi, menipu malah mencari pelbagai cara bagi menghalang calon PH bertanding dalam pilihan raya akan datang.

“Dia akan mengancam, menggunakan jentera kerajaan. Tetapi jika rakyat sedar yang undi mereka adalah untuk diri mereka sendiri, mereka akan pilih PH,” katanya.

Dr Mahathir juga membuatkan khalayak tergelak apabila menggelarkan Najib sebagai penyangak.

Katanya lagi, Perdana Menteri Kedua Abdul Razak Hussein yang juga merupakan ayah Najib berkhidmat dengan baik kepada negara tetapi menyedihkan bila anaknya sendiri perlu memberikan duit kepada rakyat untuk meraih sokongan.

Katanya PH dibentuk untuk menjatuhkan Najib, itulah yang dimahukan rakyat, bukan untuk menjadi perdana menteri supaya mereka boleh merompak duit untuk membeli barang kemas kepada isteri mereka.

“Kami juga sayangkan isteri kami tetapi kami tak buat begitu. Kerja kerajaan ialah untuk bekhidmat kepada rakyat, terutama sekali sekarang ini rakyat terbeban dengan peningkatan kos sara hidup, pemotongan biasiswa dan peluang pekerjaan yang terhad.

“Kami akan betulkan ini, sembuhkan ekonomi. Kami akan buat, kami ada pengalaman dalam kerajaan,” katanya.

Dr Mahathir juga memerli Peguam Negara Mohamed Apandi Ali yang didakwanya berbohong untuk melindungi Najib berkaitan salah laku skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Katanya apabila soalan dibangkitkan mengenai RM2.6 bilion dimasukkan ke dalam akaun Najib selepas Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) mendakwa duit itu datang daripada 1MDB, dan bukannya derma, Anapi menafikan dan berkata “tanya Najib jika tak percaya”.

“Dan bila semua orang tanya Najib, dia nafi. Jadi ini ialah undang-undang baru di bawah Najib. Tanya sahaja orang yang dituduh merompak atau membunuh jika dia buat. Jika dia cakap tak, takpalah, lepaskan dia,” katanya.

Memetik kenyataan terbaru Apandi yang dia tidak takutkan sesiapa kecuali Tuhan, Dr Mahathir berkata dia tidak pernah mahukan rakyat takut padanya, tetapi hanya mahu sokongan mereka.

“Saya terkejut dengan jawapan dia, dan bila Kit Siang guna ayat Al-Quran berkenaan apa yang dikatakannya.

“Mungkin Kit Siang boleh tunjuk ayat itu kepada Apandi. Kita tak perlu berdakwah pada Kit Siang kerana dia dah pun baca Quran,” katanya.

Turut hadir ialah Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden Mukhriz Mahathir, Kit Siang, Naib Presiden Amanah Dr Mujahid Yusof Rawa dan ramai lagi pemimpin Bersatu, DAP, PKR dan Bersatu Pulau Pinang.

Ketua Bersatu Pulau Pinang, Marzuki Yahya berkata hampir 5,000 menghadiri rumah terbuka itu. – 20 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen