PRESIDEN Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau menawarkan jawatan kepada Tengku Razaleigh Tengku Hamzah.
Zahid, bagaimanapun, enggan mendedahkan jawatan apakah yang ditawarkannya kepada veteran Umno itu.
Bekas timbalan perdana menteri itu berkata beliau bertemu Tengku Razaleigh, yang menentangnya dalam perebutan jawatan presiden, semalam untuk berbincang mengenai jawatan tersebut.
“Saya sudah berbincang beberapa perkara dengan beliau tentang peranan apakah yang boleh dimainkan beliau untuk memulihkan semula Umno.
“Saya sudah bincang dengan beliau dan beliau akan buat keputusan,” kata Zahid kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.
Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata Tengku Razaleigh, yang dikenali sebagai Ku Li, terbuka dengan tawaran tersebut dan idea memajukan Umno.
“Saya mengadakan perbincangan yang baik dengan Ku Li kerana beliau seorang demokrat. Beliau sangat positif walaupun memperolehi sedikit undi,” kata Zahid.
Ku Li menentang Zahid dan Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin dalam perebutan jawatan presiden, namun tewas.
Zahid turut mendedahkan yang Khairy menolak tiga jawatan yang ditawarkan kepadanya.– 25 Julai, 2018.
Komen