KHAIRY Jamaluddin tolak tiga jawatan dalam Umno dan Barisan Nasional (BN) yang ditawarkan kepadanya, kata Ahmad Zahid Hamidi, hari ini.
Presiden Umno itu berkata, Khairy diminta bertanding sebagai timbalan presiden parti tetapi menolaknya.
Beliau berkata Khairy juga menolak jawatan setiausaha agung BN dan ketua perhubungan.
“Saya sudah tawarkan kepada beliau tetapi beliau tolak. Pertama, sebelum pemilihan parti, saya beri beliau peluang bertanding jawatan timbalan presiden kerana Hisham tarik diri.
“Selepas beliau kalah, saya tawar untuk beliau jadi setiausaha agung BN tetapi ditolak juga.
“Sebelum pengumuman ahli Majlis Tertinggi Umno dibuat, saya tawarkan beliau untuk kali ketiga bagi jawatan ketua perhubungan tetapi beliau menolak,” kata Zahid kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.
Bekas timbalan perdana menteri berkata Khairy tidak memberikan sebarang alasan mengenai penolakan tersebut tetapi menegaskan yang beliau sepatutnya menerima jawatan tersebut bagi membina semula Umno.
“Saya rasa beliau mungkin ada rancangan sendiri untuk membantu Umno dalam membina semula parti itu sebagai pembangkang yang konstruktif,” tambah Zahid.
Khairy bertanding menentang Zahid dan Razaleigh Tengku Hamzah dalam perebutan jawatan presiden Umno tetapi kalah.
Ahli Parlimen Rembau itu juga enggan mengikut partinya keluar pada hari pertama sidang Dewan Rakyat bagi memprotes pelantikan speaker Dewan Rakyat.– 25 Julai, 2018.
Komen