PEMIMPIN Pakatan Harapan tidak perlu bimbang dengan keputusan Dr Mahathir Mohamad menghantar Daim Zainuddin sebagai utusan ke China kerana “diplomasi jalan belakang” (backchannel diplomacy) biasanya digunakan oleh kebanyakan pemimpin di seluruh dunia, kata penganalisis politik.
Daim, yang mengetuai Majlis Penasihat Kerajaan, mengunjungi China baru-baru ini bagi memulakan semula rundingan berhubung projek mega yang sebelum ini digantung Dr Mahathir sejak kembali semula menjadi perdana menteri pada 9 Mei.
Pengkritik mempersoalkan isu kebertanggungjawaban, sambil menyatakan kebimbangan yang ahli majlis berkenaan - bukan ahli Parlimen - akan mempengaruhi keputusan berhubung dasar.
Pembangkang Barisan Nasional mengkritik kerajaan kerana membenarkan Daim mewakili negara walaupun beliau tidak memegang sebarang jawatan rasmi dalam kerajaan.
Pengarah Asia Institute Tasmania, Universiti Tasmania, James Chin berkata, adalah menjadi kebiasaan untuk sesebuah negara menghantar utusan yang tidak memegang sebarang jawatan rasmi untuk berunding mengenai sesuatu perjanjian sebelum pertemuan antara ketua kedua-dua negara diadakan.
“Daim sepatutnya dibenarkan untuk menawarkan idea kepada pihak China dan melihat pandangan mereka mengenainya sebelum kerajaan melakukan kunjungan rasmi atau membuat keputusan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Chin berkata keputusan untuk mengutuskan Daim yang kebiasaannya dirujuk sebagai “diplomasi jalan belakang”, di mana wakil bukan kerajaan dihantar untuk menyelesaikan konflik tanpa memerlukan rundingan rasmi.
“Pemimpin di seluruh negara ada penasihat mereka sendiri. Mustahil untuk pisahkan peranan penasihat ini, yang mungkin mempunyai akses dan pengaruh pemimpin negara lain. Mereka mempunyai kebebasan yang luas untuk melakukan rundingan,” katanya.– 25 Julai, 2018.
Berita penuh di sini.
Komen