PKR mengubah tarikh penamaan calon pemilihan parti peringkat pusat kepada 5 Ogos bagi memberi laluan kepada jentera dan pimpinan untuk membantu pilihan raya kecil (PRK) Sungai Kandis di Selangor.
Tarikh penamaan calon itu sebelumnya ditetapkan pada Ahad ini, 29 Julai.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Rashid Din berkata tarikh penamaan itu juga dianjak seminggu kerana bertindih dengan penamaan calon pemilihan cabang bagi beberapa negeri yang juga berlangsung Ahad ini.
“Untuk negeri (penamaan calon) kita kekal tetapi MPP pusat kita anjak dari 29 Julai kepada 5 Ogos. PRK Sungai Kandis antara sebabnya (ditangguhkan),” katanya kepada The Malaysian Insight.
Rashid memaklumkan ada empat negeri yang menjalankan penamaan calon pada Ahad ini dan parti juga berdepan kekangan dari segi tenaga kerja untuk mengendalikan proses itu.
“Kita beri tekanan pada aspek tenaga kerja kerana penyelaras MPP akan kita hantar juga jadi pemerhati (ke negeri-negeri),” kata Rashid ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Jelas Rashid, pertindihan hari antara penamaan calon pusat dengan beberapa negeri sebelum tarikh yang dicadangkan akan melibatkan petugas JPP yang lebih ramai.
Surat pekeliling ibu pejabat PKR menyebut penamaan calon bagi cabang di Sabah dan Sarawak akan diadakan pada 28 Julai, manakala empat negeri iaitu Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Melaka dan Pahang pada 29 Julai.
Pada 4 Ogos, lebih 50,000 pengundi DUN Sungai Kandis akan memilih semula wakil rakyat selepas kematian Shuhaimi Shafiei pada 2 Julai lalu. – 25 Julai, 2018.
Komen