BEBERAPA persoalan dibangkitkan di Parlimen hari ini berhubung kes kematian berprofil tinggi pembantu politik Teoh Beng Hock dan Altantuya Shaariibuu, dengan Ahli Parlimen DAP Ramkarpal Singh bertanyakan siapa yang cuba dilindungi bekas kerajaan Barisan Nasional (BN).
Ramkarpal (PH-Bukit Gelugor), ketika membahaskan ucapan Yang di-Pertuan Agong, menyebut kegagalan pihak berkuasa bertindak terhadap kedua-dua kes sebagai contoh rasuah.
“Mahkamah Rayuan memutuskan terdapat seorang atau lebih yang tidak dikenali, termasuk pegawai SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) menyebabkan kematian Teoh,” kata Ramkarpal, memetik keputusan pada September 2014.
“Tetapi peguam negara pada masa itu tidak mengambil tindakan. Adakah kita mahu mempercayai Teoh sengaja jatuh dari bangunan (SPRM)? Sudah pasti ada permainan kotor.
“Ia sama dalam kes Altantuya. Dalam semua kes jenayah dan pembunuhan, termasuk yang saya kendalikan, semua dalang didakwa walaupun mereka tidak mempunyai penglibatan fizikal. Mereka didakwa kerana mempunyai niat.”
Mengapa pihak pendakwa gagal melakukan hal itu dalam kes Altantuya, soal peguam itu.
Dalang di sebalik kematian Teoh pada 2009 dan Altantuya pada 2006 tidak pernah dibawa ke mahkamah. Kedua-dua kes itu dibuka semula untuk disiasat berikutan perubahan kerajaan baru-baru ini.
Altantuya dikatakan mempunyai hubungan dengan penganalisis Abdul Razak Baginda, yang sebelum ini menjadi penasihat kepada bekas perdana menteri Najib Razak ketika beliau memegang jawatan menteri pertahanan. – 25 Julai, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Alisya sofea · Ulasan