Ahli Parlimen DAP desak Najib jelaskan surat CIA di Dewan


Looi Sue-Chern

Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh berkata Najib Razak berkemungkinan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan kerana aktiviti yang merosakkan demokrasi berparlimen. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Julai, 2018.

BEKAS perdana menteri Najib Razak perlu menjelaskan surat yang dihantar oleh seorang pegawainya kepada Agensi Risikan Pusat (CIA) beberapa hari sebelum pilihan raya 9 Mei dan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB), kata seorang ahli Parlimen DAP di Dewan Rakyat hari ini.

Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) berkata Najib (BN-Pekan) mesti menjawab sama ada ia adalah arahannya surat itu dihantar.

“Adakah beliau meminta CIA membantu melawan Pakatan Harapan jika ia menang pilihan raya umum?

“Ini sangat serius. Beliau mungkin melakukan kesalahan di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan kerana aktiviti yang merosakkan demokrasi berparlimen.

“Kesalahan ini membawa hukuman penjara 20 tahun. Adakah Pekan akan disiasat?” katanya dalam ucapan terima kasihnya terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun, Najib berkata beliau tidak mengarahkan Bahagian Penyelidikan di Jabatan Perdana Menteri memberi surat kepada CIA untuk mendapatkan sokongan Amerika Syarikat  menjelang pilihan raya umum itu.

 “Saya terkejut. Saya tidak tahu tentang kewujudannya. Tidak semua surat perlu melalui saya,” katanya dipetik portal berita Malaysiakini minggu lepas.

Surat itu, yang bertarikh 4 Mei dan ditandatangani oleh Ketua Pengarah Jabatan Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri Hasanah Ab Hamid, dihantar kepada Pengarah CIA Gina Haspel.

Surat itu menyerlahkan Najib sebagai sekutu Amerika yang kuat, berbanding pemimpin pembangkang Dr Mahathir Mohamad.

Ia menyatakan Dr Mahathir “pada asasnya bukanlah seorang yang pembawa pembaharuan yang boleh merangsang pertumbuhan Malaysia kerana beliau menyertai pembangkang atas kepentingan peribadi”.

Surat itu juga memburukkan pembangkang ketika itu “menyebarkan cerita negatif” mengenai dasar politik dan sosio-ekonomi Malaysia menerusi portal dalam talian seperti Malaysiakini dan Sarawak Report.

Ia memuji dasar dan sumbangan luar negara Najib yang memberikan sumbangan kepada keselamatan serantau, sambil menambah ia mengalu-alukan kehadiran AS di Laut China Selatan untuk mengimbangi keagresifan maritim China.

Ia juga menyatakan Malaysia adalah sebuah negara Islam yang sederhana dan progresif di bawah Najib, yang dijangka memenangi pilihan raya umum untuk membentuk kerajaan akan datang. – 25 Julai, 2018.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen