Peniaga jangka peralihan kepada SST kelam kabut


Sheridan Mahavera

Kebimbangan peniaga dan industri adalah mereka tidak mempunyai masa cukup mengkaji kaedah dan kesan SST kerana masa pelaksanaan yang diberikan selepas undang-undang diluluskan hanyalah tiga hari. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Julai, 2018.

PENIAGA menjangkakan perubahan yang kelam kabut kepada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada September, memandangkan hanya tiga hari tempoh penyesuaian yang ada selepas cukai itu menjadi undang-undang.

Walaupun SST adalah cukai satu tahap, kumpulan peniaga berkata ahli mereka bimbang kerana wujud ketidakpastian ke atas perbezaan kategori dalam cukai itu.

“Masalahnya adalah kami hanya boleh menetapkan sistem harga kami bila undang-undang diluluskan dan digazetkan,” kata Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Michael Kang.

“Hanya terdapat tiga hari antara pengazetan dan pelaksanaan, dan ini akan menjadikan perniagaan kelam kabut.

“Ada barang yang akan turun harga dan ada juga yang akan naik, jadi kami perlukan lebih banyak masa untuk kaji rejim cukai baharu ini,” kata Kang kepada The Malaysian Insight.

Kerajaan menetapkan 1 September untuk SST dilaksanakan. Dijangkakan rang undang-undang SST akan dibentangkan minggu hadapan untuk diluluskan dan digazetkan menjelang 28 Ogos.

SST mempunyai tiga kadar, 0%, 5% dan 10% untuk barangan dan 6% untuk perkhidmatan tertentu.

Walaupun Jabatan Kastam sudah mengeluarkan senarai 292 barangan dikecualikan SST, ia masih belum mendedahkan barangan yang akan dikenakan cukai.

Senarai pengecualian termasuklah makanan, barangan rumah, bahan pembinaan, bahan kimia dan perabot.

Hanya perniagaan yang meraih pendapatan lebih RM500,000 akan dikenakan SST. 

Walaupun cukai itu dikenakan pada tahap pengeluar atau pengimport, beberapa perniagaan dijangka terpaksa mengenakan kedua-dua jenis cukai itu, kata Kang.

“Ada perniagaan makanan yang ada dapur pusat. Jadi adakah dapur pusat perlu kenakan cukai barangan bila mereka keluarkan dan jual kepada kedai mereka?

“Kemudian adakah kedai itu pula akan kenakan cukai 6% terhadap makanan? Inilah butiran yang kami masih tak tahu kerana kami masih tak boleh kaji undang-undang.

“Hanya selepas kami boleh kaji undang-undang barulah kami boleh tentukan kos akhir produk kami dan berapa hendak jual.”

Transisi tiga hari juga akan menyaksikan pengeluar, pemborong dan peruncit dalam rangkaian peruncitan bergelut untuk mengubah sistem harga mereka, kata Kang.

Persatuan itu mempunyai kira-kira 100,000 ahli daripada sejuta SME di seluruh negara. Menurut Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), SME mewakili 98% perusahaan di Malaysia.

Pengarah Eksekutif MEF Shamsuddin Bardan menyuarakan kebimbangan sama, berkata tempoh masa yang diberikan untuk mematuhi undang-undang terlalu singkat.

Ketika pentadbiran terdahulu Barisan Nasional melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), tempoh transisi yang diberikan adalah setahun.

Ketika kerajaan Pakatan Harapan memutuskan penetapan kadar sifar untuk GST, hanya sebulan diberikan kepada perniagaan untuk menyesuaikan diri.

“Tiga hari sebenarnya tak cukup untuk kaji undang-undang dan kesannya. Misalnya, kami masih tak jelas tentang had pendapatan yang menjadikan sesorang layak dikenakan cukai.”

Ada juga risiko pengazetan akan ditangguhkan kerana rang undang-undang itu boleh tersekat di Dewan Negara, kata Shamsuddin.

Selepas rang undang-undang diluluskan Dewan Rakyat, ia perlu diluluskan Dewan Negara. Bagaimanapun, pembangkang Barisan Nasional mengawal dewan atas Parlimen itu dan ia mungkin tidak diluluskan dan menghantarnya kembali untuk perdebatan di Dewan Rakyat.

Rang undang-undang percukaian bagaimanapun akan lulus secara automatik selepas 30 hari dengan atau tanpa kelulusan Dewan Negara.

“Jika ini berlaku ia akan menangguhkan kelulusan undang-undang. Jadi sekali lagi tidak akan ada cukup masa untuk perniagaan (bersedia) melaksanakan SST tepat pada masanya.” – 25 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen