BN masih dengan isu kaum, enggan akui kesilapan, kata Mukhriz 


Chan Kok Leong

Menteri Besar Kedah yang juga Timbalan Presiden Bersatu Mukhriz Mahathir ketika menyampaikan ceramah di Taman Sri Andalas Klang, malam tadi.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 25 Julai, 2018

KEPUTUSAN pilihan raya kecil Sungai Kandis mungkin tidak mengubah lanskap politik keseluruhannya di Selangor namun ia menunjukkan apa yang akan dijangka dalam tempoh beberapa tahun akan datang. 

Ketika Barisan Nasional terus memfokuskan kepada isu kaum dan agama, Pakatan Harapan mengambil pendekatan sebaliknya - Malaysia yang lebih bersatu. 

Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir berkata “pihak sebelah” masih belum sedar kesilapannya. 

“Sama ada dalam atau luar Parlimen, mereka masih bangkitkan isu perkauman dan agama. Ini bukan sesuatu yang perlu disentuh sekiranya kita mahu mengekalkan keharmonian yang sedia ada,” kata timbalan presiden Bersatu itu pada sesi ceramah PKR yang diadakan di Taman Sri Andalas, Klang malam tadi.

Mukhriz berkata, beliau juga keliru ketika berada dalam Umno. 

“Saya merupakan bekas pengerusi perhubungan negeri Kedah dan ahli majlis tertinggi. Tetapi setelah saya bekerja dengan pembangkang (Pakatan) dan menyaksikan harapan rakyat yang mahukan perubahan saya melihat sesuatu yang disembunyikan daripada saya. 

“Saya sedar politik perkauman ialah sesuatu yang tidak boleh diamalkan di negara ini,” kata Mukhriz. 

Beliau turut menggesa kira-kira 150 penduduk Klang yang hadir agar memilih parti yang mewakili semua kaum. 

“Pilih pemimpin yang berjuang untuk semua. Undi mereka yang akan kekalkan keamanan dan pembangunan kepada semua agar tiada yang ketinggalan dan tolak retorik perkauman pihak sebelah,” kata Mukhriz. 

Menteri Alam Sekitar yang baharu dilantik Dr Xavier Jayakumar berkata dengan membenarkan Umno menang di sini akan memberikan mesej yang salah kepada mereka. 

“Untuk, sebaliknya bercakap tentang pembangunan atau perubahan yang mahu dibawa, parti itu hanya berminat untuk membangkitkan ketegangan terhadap isu kaum dan agama,” kata bekas Adun Sri Andalas itu. 

Kerusi Sungai Kandis, yang sebelum ini adalah Sri Andalas, kosong selepas kematian penyandangnya Shuhaimi Shafiei pada 2 Julai lalu. 

Hari mengundi di kawasan yang memiliki 51,300 pengundi itu ditetapkan pada 4 Ogos dan ini merupakan pilihan raya kecil pertama selepas Pilihan Raya Umum ke 14 yang bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon PKR Ustaz Zawawi Ahmad Mughni, calon Umno Lokman Noor Adam dan calon bebas K Murthy. 

Sementara itu, Menteri Besar Selangor Amiruddin Shaari berkata, walaupun Pakatan tidak selalu membangkitkan isu kaum dan agama, ia telah melakukan banyak perkara kepada masyarakat Melayu di negeri itu. 

“Ambil tanah rizab Melayu sebagai contoh. Sejak Selangor di bawah Pakatan, tidak ada satu inci pun tahan rizab Melayu hilang. 

“Dan bila rizab Melayu ini ditukarkan, nilai tanah yang ditukar itu mestilah tidak jauh daripada yang asal,” katanya yang juga Adun Sungai Tua. 

Beliau berkata, tanah rizab Melayu kini lebih 30% di negeri itu.

Antara pemimpin yang turut menyampaikan ceramah ialah Menteri Luar yang juga Setiausaha Agung Paatan Saifuddin Abdullah dan calon PKR Sungai Kandis Zawawi. – 25 Julai, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen