Mesyuarat Kabinet tetap berlangsung esok di Putrajaya


Yasmin Ramlan

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub berkata banyak dokumen sulit tidak boleh dipindahkan ke Parlimen, mesti habiskan di Putrajaya.– Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Julai, 2018

KERAJAAN mengumumkan mesyuarat Kabinet akan tetap berlangsung pada Rabu di Putrajaya pada minggu ini dan bukannya Jumaat seperti dirancang.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub berkata mesyuarat tersebut hanya akan dianjak ke hari Jumaat pada minggu depan.

Jelasnya, mesyuarat itu juga tidak boleh diadakan di Parlimen kerana kertas sulit untuk mesyuarat Kabinet tidak boleh dipindahkan.

“Esok kami (menteri) tidak akan ada di Parlimen dari jam 2.30 hingga 5 petang, semua menteri.

“Minggu depan baru kami mesyuarat Kabinet pada Jumaat, kena faham ada banyak dokumen sulit tidak boleh dipindahkan ke Parlimen, mesti habiskan di Putrajaya,” katanya kepada pemberita.

Beliau bagaimanapun menjelaskan, timbalan menteri akan tetap hadir ke persidangan Parlimen.

“Mungkin ada keperluan lagi minggu ini bersidang di Putrajaya tetapi timbalan menteri akan ada di Parlimen untuk sesi soal jawab.

Minggu lalu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Nga Kor Ming mengumumkan mesyuarat Kabinet akan diubah ke hari Jumaat bagi menghormati persidangan Dewan Rakyat.

Keputusan itu dibuat ekoran kritikan pembangkang yang mempersoalkan ketidakhadiran anggota anggota jemaah menteri ke Parlimen, Rabu lalu berikutan mesyuarat Kabinet.– 24 Julai, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen