Lantik peguam negara bukan ahli Parlimen tindakan tepat


Looi Sue-Chern

TINDAKAN kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak melantik salah seorang ahli Parlimen sebagai peguam negara adalah satu langkah yang baik, kata ahli Parlimen PAS hari ini.

Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu) berkata beliau bersetuju dengan keputusan kerajaan, tetapi mencadangkan supaya peguam negara masuk ke Dewan Rakyat.

“Saya sangat bersetuju dengan langkah itu, untuk tidak melantik salah seorang ahli Parlimen, tidak seperti janji PH dalam manifestonya,” katanya dalam usul terima kasih kepada titah Yang di-Pertuan Agong petang tadi.

“Jika ahli Parlimen dilantik sebagai ahli Parlimen, bayangkan ahli Parlimen itu ialah Sepang atau Jelutong.. itu akan menjadikan kedudukan mereka lebih tinggi berbanding Kota Raja, Bagan atau Iskandar Puteri,” katanya bergurau.

Ahli Parlimen Sepang dan Jelutong, masing-masing ialah peguam Mohamed Hanipa Maidin (Amanah) dan RSN Rayer (DAP).

Ahli Parlimen Kota Raja ialah Presiden Amanah Mohamad Sabu sementara Ahli Parlimen Bagan dan Iskandar Puteri daripada DAP, masing-masing ialah setiausaha agung Lim Guan Eng dan bapanya, Kit Siang.

“Apa yang saya mahu tanya ialah adakah kerajaan ada rancangan menjadikan peguam negara sebagai ahli Dewan Rakyat.

“Ia bukan sesuatu yang baru. Penasihat undang-undang negeri ialah ex-officio yang ada dalam persidangan dewan undangan negeri.

“Kenapa tidak peguam negara duduk di Dewan Rakyat untuk menjawab soalan? Mungkin beliau boleh menjadi senator.

Peguam negara sekarang ialah pakar perlembagaan Tommy Thomas.

Takiyuddin juga bertanya sama ada kerajaan bercadang untuk menjadi teknokrat seperti Pakistan, Greece, Tunisia, Bulgaria dan Romania.

“Dalam kerajaan seperti itu, bila pentadbiran tidak ada ahli Parlimen yang sesuai untuk mengisi jawatan Kabinet, ia akan melantik golongan profesional sebagai anggota Kabinet dengan menjadikan mereka senator.”

Takiyuddin juga bertanya kenapa menteri dan timbalan menteri tertentu diberikan portfolio yang tidak selaras dengan latar belakang mereka.

Katanya, seorang jurutera menjadi timbalan menteri kewangan dan peguam ialah menteri kerja raya, sementara ahli Parlimen mewakili kerusi bandar ialah menteri bertanggungjawab dengan pembangunan luar bandar.

Takiyuddin tidak menyebut nama mereka yang terbabit.

“Yang saya bimbang ialah timbalan menteri bertanggungjawab tentang hal ehwal Islam di Jabatan Perdana Menteri,” katanya merujuk kepada Fuziah Salleh (PH-Kuantan).

Beliau berkata pemeriksaan menunjukkan latar belakang akademik dan kelayakan timbalan menteri itu ialah kaunseling dan pentadbiran perniagaan.

“Ini tidak sesuai. Hal ehwal Islam sepatutnya diberikan kepada individu yang mempunyai kelayakan tepat dan ada keupayaan dalam bidang itu.

“Saya tidak mempersoalkan atau memperkecilkan kemampuannya, tetapi saya bangkitkan perkara ini kerana kerajaan perlu bertanggungjawab (atas keputusan ini),” katanya. – 24 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen