
Pemimpin Pakatan Harapan Salahuddin Ayub setuju dengan cadangan bekas menteri Rais Yatim agar ahli Parlimen yang malas hadir ke sesi Dewan Rakyat dipotong elaunnya, dengan syarat ketidakhadiran mereka itu tidak bersebab.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu berkata tindakan itu hanya wajar sekiranya mereka sengaja ponteng dan gagal memberi alasan kukuh kenapa tidak hadir pada sidang Dewan Rakyat.
“Kalau ada pemotongan elaun itu terpulang kepada peraturan Parlimen dan peraturan yang mungkin akan ditentukan oleh Parlimen.
“Tapi sekiranya kita tak hadir Parlimen kerana tugas dan ada tanggungjawab, ada mesyuarat ataupun taklimat yang perlu hadir, jadi saya rasa itu satu yang perlu difikirkan oleh masyarakat,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Sidang Dewan Rakyat pada sesi petang hari ini tertangguh selama enam minit selepas Alexander Nanta Linggi (PBB-Kapit) membangkit peraturan mesyuarat mengenai korum kepada Speaker Mohamad Ariff Md Yusof yang mempengerusikan mesyuarat.
Selepas loceng dibunyikan, Mohamad Ariff memaklumkan bahawa terdapat 36 Ahli Parlimen di dalam dewan, sekaligus membolehkan mesyuarat bersidang.
Insiden tersebut mendapat perhatian Rais yang menulis komen di Twitter mencadangkan agar elaun bulanan ahli Parlimen dikurangkan sekiranya korum sidang Dewan Rakyat tidak mencukupi.
Mengulas insiden tersebut, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kulai itu berkata media juga harus berlaku adil terhadap wakil rakyat memandangkan ada kalangan mereka menghadiri taklimat pada waktu itu.
“Jangan hanya keluar gambar pada waktu kosong itu kita dah buat kesimpulan. Tapi berilah peluang kepada ahli Parlimen untuk memperjelaskan kenapa mereka tak hadir.
“Tapi dalam masa dua tahun, dua setengah tahun mungkin kita dah boleh mengukur siapa ahli Parlimen yang memang sengaja tak datang Parlimen ataupun perangainya yang datang angguk saja, ataupun datang hanya untuk mendapat elaun saja.
“Prestasi mereka ini boleh dibaca, diukur… dalam tempoh waktu dua tahun kita boleh kenal pasti,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Sungai Petani Johari Abdul berkata, selain menghadiri taklimat, ada juga ahli Parlimen yang tiada di dewan kerana menghadiri majlis pengebumian Adun Balakong, Eddie Ng Tien Chee yang meninggal dunia Jumaat lalu.
“Tak, kami ada di situ. Kita ada taklimat kepada ahli Parlimen baharu dan kami sedang berjalan, jadi makan masa sikit…kemudian loceng kedua berbunyi. Bukan boikot (sidang dewan), kalau andaian you yang kita boikot.
“Sebahagian pula berada di majlis pengebumian wakil rakyat Balakong yang dijalankan pukul 12.30 tengah hari,” katanya. – 24 Julai, 2018
Terdahulu, ketua pembangkang Ahmad Zahid Hamidi memberi amaran kepada anggota jemaah menteri Pakatan Harapan (PH) supaya menunjukkan teladan baik hadir dalam sesi perbahasan di Dewan Rakyat, sebelum Barisan Nasional merampas kembali Putrajaya.
Walau sibuk bagaimana sekalipun, katanya mereka mesti datang ke Parlimen sebagai menghormati dewan itu dan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad selaku ketua kerajaan di Dewan Rakyat.
“Kehadiran anggota pentadbiran PH hendaklah diperbaiki sebelum kami (BN) mengambil alih kerajaan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.
Dr Mahathir semalam menjawab soalan yang dikemukakan oleh Zahid, yang juga ahli Parlimen Bagan Datuk, kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
Lim semalam berada di Dewan Rakyat semasa Dr Mahathir menjawab soalan bagi pihak Kementerian Kewangan.
Perdana menteri yang kemudian ditanya mengenai kehadiran menterinya di Parlimen berkata, mereka perlu ada alasan yang sewajarnya untuk tidak hadir.
Zahid berkata menteri bukan saja harus menunjukkan hormat kepada Parlimen tetapi memberikan sokongan moral kepada Dr Mahathir sebagai perdana menteri. – 24 Julai, 2018
Komen