TIMBALAN Speaker Dewan Rakyat Nga Kor Ming mengesahkan bahawa ketua pembangkang Ahmad Zahid Hamidi akan ditawarkan jawatan pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
Bagaimanapun, tawaran itu perlu dibincangkan dengan menteri hal ehwal Parlimen dan dimaklumkan kepada presiden Umno tersebut terlebih dahulu, katanya kepada pemberita.
Nga menjelaskan, pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat akan membincangkan mengenai perkara itu dalam mesyuarat mingguan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong pada Khamis ini.
“Pejabat Yang Dipertua akan bertemu dengan menteri bertanggungjawab dalam hal ehwal Parlimen setiap minggu pada hari Khamis, kemudian kami akan umumkan sekiranya ada keputusan dibuat,” katanya.
Ditanya sama ada Zahid akan menerima tawaran tersebut, Nga berkata perkara itu hanya akan dapat diputuskan oleh bekas timbalan perdana menteri tersebut.
“Kena tanya Ahmad Zahid,” katanya kepada pemberita kepada pemberita ketika ditemui di bangunan Parlimen hari ini.
Penubuhan Jawatankuasa Parlimen dan pelantikan ketua pembangkang sebagai pengerusi PAC itu merupakan antara proses pendemokrasian yang dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan.
Mengulas langjut mengenai perkara itu, Nga berkata langkah untuk membincangkan pelantikan berkenaan menunjukkan PH serius untuk menunaikan manifesto berkenaan.
“Sudah tentu kami serius untuk menunaikan manifesto, itu antara sebab mengapa kami akan membincangkan perkara ini. Jika tak serius, kami tak akan bincang mengenainya,” kata Nga.
Pengerusi PAC untuk Parlimen ke-13 sebelum ini adalah ahli Parlimen Pulai waktu itu, Nur Jazlan Mohamed dengan dipengerusikan Dr Tan Seng Giaw, ahli Parlimen Kepong dari DAP.
Jawatankuasa dianggotai 12 ahli Parlimen BN dan pembangkang bersidang sebanyak 44 kali.
Selain pegawai kementerian, turut dipanggil untuk memberi keterangan adalah pegawai tertinggi 1Malaysia Development Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Felda dan Finas.– 24 Julai, 2018
Komen