Amanah gesa SKMM pantau lagu disiarkan di stesen radio


Yasmin Ramlan

Ketua Wanita Amanah, Dr Siti Maria Mahmud berkata lagu turut perlu dipantau sebagaimana dilakukan terhadap penyiaran filem semasa sidang media di ibu pejabat DAP di Kuala Lumpur hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 20 Julai, 2017.

AMANAH mencadangkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memantau lagu yang disiarkan di stesen radio tempatan sebagaimana dilakukan terhadap filem.

Ketua sayap wanitanya, Dr Siti Maria Mahmud berkata demikian berikutan tuntutan parti semalam agar lagu nyanyian bersama artis antarabangsa Luis Fonsi, Daddy Yankee dan Justin Bieber bertajuk “Despacito” diharamkan kerana lirik lagu dalam bahasa Sepanyol dan Inggeris itu berunsur lucah.

“Biar saya jelaskan, kami bukan minta ia diharamkan tetapi dipantau. Sama seperti filem yang ditayangkan di pawagam, sesuai untuk semua lapisan umur dan masyarakat.

“Ini kerana ada anak kecil yang mendengar lagu jenis itu,” katanya selepas membacakan lirik tersebut kepada pemberita pada sidang media di ibu pejabat DAP di Kuala Lumpur hari ini.

Semalam, Menteri Komunikasi dan Multimedia Salleh Said Keruak mengarahkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) memberhentikan serta-merta lagu tersebut di semua stesen radio dan saluran televisyen miliknya.

Salleh berkata, lagu itu dinilai semula oleh panel penilai RTM susulan aduan awam dan mengambil keputusan menarik kelulusan. – 20 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen