Ada kem dalam pemilihan PKR, kata Zuraida


Yasmin Ramlan

KETUA Wanita PKR Zuraida Kamaruddin mengakui terdapat beberapa kem dalam PKR menjelang pemilihan parti itu bermula September ini.

Ahli Parlimen Ampang itu menjelaskan, kem-kem itu ada bagi mewujudkan persaingan yang sihat dalam parti yang mengamalkan dasar demokrasi.

“Kalau lawan mestilah ada beberapa kem. Kalau tak, tak ada lawan (tiada persaingan). Betul tak?

“Kita (PKR) mengamalkan demokrasi. Jadi amalan demokrasi itu membenarkan mereka bertanding, (jadi) biarkan mereka bertanding. Selepas itu, kita boleh berkawan (semula seperti biasa),” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Zuraida sebelum ini membuat kenyataan yang membayangkan mahu jawatan presiden ditandingi dan bukannya diserahkan tanpa pertandingan kepada Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim, yang sudah menawarkan diri untuk jawatan itu.

Sementara itu, Zuraida yang juga menteri perumahan dan kerajaan tempatan berkata, setakat ini belum memutuskan untuk bertanding mana-mana jawatan pada pemilihan nanti.

“Saya belum lagi putuskan jawatan apa saya akan bertanding. Insya-Allah, dalam masa terdekat akan buat keputusan dan pengumuman kerana tarikh pencalonan untuk pemilihan pusat dah ditunda ke 5 Ogos,” katanya.

Pencalonan bagi pemilihan PKR sebelum ini ditetapkan pada 29 Julai ini.

Zuraida berkata keputusan parti menangguhkan tarikh pencalonan itu memberikan beliau masa untuk menentukan jalan politiknya.

“Pertimbangan saya berdasarkan kepada kepentingan atau keperluan politik dalam PKR sendiri,” katanya, sambil menegaskan apa pun keputusannya nanti ia haruslah memberi kesan kepada pengukuhan parti dan pemantapan akar umbi.

Sebelum ini, Zuraida dilaporkan tidak akan mempertahankan jawatannya sebagai ketua Wanita PKR bagi memberi laluan kepada pemimpin lebih muda. – 24 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen