UMNO mempersoalkan bidang kuasa Majlis Penasihat Kerajaan yang kini didakwa melebihi kuasa menteri Kabinet.
Hinggakan, Majlis tersebut dilihat merebut kuasa kerajaan, kata setiausaha agung parti itu, Annuar Musa di Dewan Rakyat hari ini.
“Sekarang, CEP merebut kuasa kerajaan. Apa yang lebih mengejutkan ialah CEP lebih berkuasa daripada menteri,” kata Annuar ketika sesi perbahasan.
Beliau menimbulkan perkara itu susulan laporan akhbar Singapura, The Straits Times hari ini yang mendakwa menteri Pakatan Harapan kini bimbang dengan bidang kuasa Majlis.
Annuar dalam ucapannya memberi contoh lawatan pengerusi Majlis tersebut, Daim Zainuddin ke China baru-baru ini bagi membincangkan projek-projek infrastruktur.
Selain itu, beliau turut membangkitkan isu peletakan jawatan bekas ketua hakim Md Raus Sharif yang berlaku selepas hakim kanan itu menemui Majlis.
“Ini contoh teruk. Iaitu CEP lebih berkuasa daripada menteri. Lebih-lebih lagi, rekod orang yang mengetuai CEP itu sendiri tak bersih,” dakwa Annuar yang merujuk kepada Daim.
Sementara itu, Bung Mokhtar Radin (BN – Kinabatangan) yang bangun mencelah mendakwa kertas Kabinet dihantar ke Majlis tersebut untuk diputuskan.
“Saya juga ada dengar semua minit mesyuarat Kabinet dihantar ke CEP, untuk diputuskan apakah tindakan yang perlu diambil nanti,” kata Bung.
Annuar seterusnya membangkitkan ramalan meramalkan bahawa kerajaan PH tidak akan dapat bertahan sehingga lima tahun kerana mendakwa asas gabungannya tidak kukuh.
“Saya tak tahu berapa lama kerajaan PH ini akan bertahan tetapi saya jangka mereka tak akan bertahan sampai lima tahun,” katanya.
Terdahulu hari ini, Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin berkata CEP membuta keputusan bagi pihak kerajaan sedangkan ia “tidak dipilih dan tidak dipertanggungjawabkan”.– 24 Julai, 2018
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Alisya sofea · Ulasan