WANITA Pakatan Harapan menggesa kerajaan untuk meningkatkan had umur perkahwinan bawah umur sekurang-kurangnya pada umur 18 tahun tanpa mengira jantina.
Sambil memuji usaha kerajaan meluluskan Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017, Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin berkata, polisi yang dicadangkan ini bertujuan untuk menjamin kualiti perkahwinan dan kehidupan serta cara didikan yang sempurna.
“Perempuan di Malaysia lebih ramai di universiti daripada lelaki pada hari in. Mereka sama taraf dengan lelaki sekarang.
“Undang-undang membenarkan membenarkan perempuan berkahwin pada umur 16 tahun. Kami (Wanita PH) bergabung untuk menggesa meningkatkan had umur kepada 18 tahun,” katanya pada sidang media di ibu pejabat DAP di Kuala Lumpur hari ini.
Di bawah Enakmen Keluarga Islam yang dikuatkuasakan di semua negeri, usia minimum bagi lelaki adalah 18 tahun manakala bagi perempuan adalah 16 tahun.
Sekiranya mereka di bawah umur, perkahwinan hanya dibenarkan jika ada kebenaran mahkamah dan persetujuan ibu bapa mereka.
Bagi orang bukan Islam, mengikut Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan perceraian) 1976 (Akta 164), usia minimum perkahwinan adalah 18 tahun.
Andainya pasangan itu berusia antara 16 tahun hingga 18 tahun, mereka perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada Ketua Menteri dan mahkamah.
Pada Julai, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman berkata Mahkamah Khas Jenayah Seksual Kanak-kanak membicarakan kes pertamanya.
Jenayah kesalahan seksual mengandungi tujuh perkara iaitu pornografi kanak-kanak (child grooming); serangan seksual fizikal dan bukan fizikal; hukuman terhadap orang yang mempunyai perhubungan amanah (seperti ahli keluarga dan guru) yang terbabit atau bersubahat; serta penekanan terhadap keterangan saksi kanak-kanak.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching juga berkata, hampir 9,000 kes sejak 2010 hingga 2015 melibatkan perkahwinan bawah umur di Malaysia.
Katanya, 6,268 ialah orang Islam dan 2,775 orang bukan Islam.
“Perkahwinan bawah umur bukan isu remeh yang diambil ringan di negara ini kerana ia memberi impak negatif tehadap kanak-kanak berkenaan daripada segi kesihatan mental dan fizikal, merendahkan taraf pendidikan, ekonomi dan meningkatkan risiko penderaan domestik dan seksual,” katanya. – 20 Julai, 2017.
Komen