SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan melakukan tangkapan segera berhubung isu pembelian hartanah di London oleh Felda Investment Corporation (FIC).
Ketua Pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad mengesahkan perkara itu dan berkata tangkapan akan dilakukan pada bila-bila masa selepas selesai merakamkan keterangan saksi pada Selasa lalu.
“Seperti dinyatakan timbalan ketua pesuruhjaya (Operasi) SPRM, daripada hasil semakan dokumen akan ada tangkapan dibuat pada bila-bila masa dalam waktu bekerja,” katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran Drama Bersiri “Banteras” di Cyberjaya hari ini.
Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan jumlah individu yang akan ditahan berhubung skandal itu.
Selasa lalu, dua individu dipanggil SPRM termasuk pengarahnya Nik Azman Mohamed Zain untuk memberi keterangan.
Semalam, SPRM memanggil enam lagi individu dari FIC bagi membantu siasatan.
Mereka yang terbabit ialah ketua hospitaliti, ketua kewangan, pengurus kanan strategik dan pelaburan, eksekutif kewangan, pembantu pengurus kewangan dan bekas timbalan presiden yang juga ketua pegawai operasi.
Menurut laporan siasatan awal, FIC didakwa membeli hotel 62 bilik di London pada harga jauh lebih tinggi berbanding harga semasa menyebabkan syarikat berkenaan menanggung kerugian jutaan ringgit.
FIC membeli hotel bertaraf empat bintang pada 2014 dengan nilai RM330 juta. – 20 Julai, 2017.
Komen