KETUA pembangkang Ahmad Zahid Hamidi memberi amaran kepada anggota jemaah menteri Pakatan Harapan (PH) supaya menunjukkan teladan baik hadir dalam sesi perbahasan di Dewan Rakyat, sebelum Barisan Nasional merampas kembali Putrajaya.
Walau sibuk bagaimana sekalipun, katanya mereka mesti datang ke Parlimen sebagai menghormati dewan itu dan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad selaku ketua kerajaan di Dewan Rakyat.
“Kehadiran anggota pentadbiran PH hendaklah diperbaiki sebelum kami (BN) mengambil alih kerajaan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Dr Mahathir semalam menjawab soalan yang dikemukakan oleh Zahid, yang juga ahli Parlimen Bagan Datuk, kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
Lim semalam berada di Dewan Rakyat semasa Dr Mahathir menjawab soalan bagi pihak Kementerian Kewangan.
Perdana menteri yang kemudian ditanya mengenai kehadiran menterinya di Parlimen berkata, mereka perlu ada alasan yang sewajarnya untuk tidak hadir.
Zahid berkata menteri bukan saja harus menunjukkan hormat kepada Parlimen tetapi memberikan sokongan moral kepada Dr Mahathir sebagai perdana menteri.
Kehadiran di Parlimen itu juga bukan hanya perlu dijaga oleh menteri dan timbalan menteri tetapi semua ahli Parlimen, kata Zahid.
“Saya fikir biarpun kita di pihak kerajaan atau pembangkang, kehadiran di Parlimen terutamanya dalam sesi-sesi perbahasan harus diberikan keutamaan. Saya tidak memihak kerana saya dan rakan-rakan pernah berada dalam kerajaan.
“Institusi Parlimen harus dihormati, biar sesibuk mana pun tapi untuk menghormati seorang ketua majlis iaitu perdana menteri yang mengambil kepedulian menjawab soalan pertama diajukan pembangkang tanya semalam.
“Ia bukan hanya harus diberikan sokongan moral tetapi memperlihatkan kesatupaduan, bukan hanya di kalangan jemaah menteri tetapi juga seluruh anggota pentadbiran,” kata Zahid.
Sidang Dewan Rakyat pada sesi selepas makan siang tengah hari tadi tertangguh lima minit kerana tidak cukup korum iaitu sekurang-kurangnya 26 ahli parlimen, sehingga memaksa Speaker Mohammad Ariff Md Yusof membunyikan loceng.
Mulai minggu ini, Jemaah Menteri yang biasanya bermesyuarat pada Rabu akan mengadakan mesyuarat mingguannya pada Jumaat sepanjang tempoh Parlimen bersidang.
Rabu lalu, ahli Parlimen daripada pembangkang mengkritik beberapa menteri dan timbalan menteri yang tidak hadir dalam sesi tengah hari persidangan Dewan Rakyat, kerana Kabinet mengadakan mesyuarat mingguan mereka di Putrajaya. – 24 Julai, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Alisya sofea · Ulasan