Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yakin golongan penerokanya masih memberi sokongan kuat kepada parti gabungan Barisan Nasional (BN) terutama Umno, sekali gus bertentangan dengan dakwaan pihak pembangkang.
Pengerusinya Shahrir Abdul Samad berkata, ia hanya propaganda parti pembangkang memandangkan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) semakin hampir.
Ahli Parlimen Johor Baru itu mengulas kenyataan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang mendakwa kawasan Parlimen di tanah rancangan Felda bukan lagi kubu kuat Umno.
“Itu pandangan beliau (Muhyiddin). Beliau berhak berpandangan begitu. Kami ada cara dan kerja kami serta sudah lama bertapak di sana (Felda).
“Beliau (Muhyiddin) mesti ada semangat untuk menggalakkan pengikut percaya padanya. Itu biasalah. Masing-masing (punya) propaganda,” katanya ketika ditemui selepas majlis sambutan ulang tahun ke-20 Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di Kuala Lumpur.
Muhyiddin sebelum ini berkata Bersatu dan Pakatan Harapan (PH) menerima sambutan yang baik daripada peneroka dalam program dijalankan di kawasan Felda.
Dalam pada itu, Shahrir tidak mempunyai masalah sekiranya PH membuat program di kawasan Felda kerana Umno juga masih berada dalam landasan yang betul untuk terus mengekalkan sokongan.
“Mereka (PH) dialu-alukan. Ini negara bebas. Pilihan raya sudah dekat dan semestinya semua orang perlu buat yang terbaik.
“Kami masih buat kerja (dalam Felda). ((Strategi kami) Pemimpin bagus, integriti dan pastikan dapat menambah baik keadaan dalam Felda,” katanya lagi.
Bersatu sebelum ini menganjurkan “Jelajah Semarak Kasih” berlangsung sejak awal tahun dengan menyasarkan kawasan Felda.
Terdapat 54 kerusi Parlimen dalam kawasan Felda dan pembangkang Pakatan Rakyat (PR) hanya memenangi enam kerusi iaitu Raub, Kuala Nerus, Temerloh, Dungun, Kulai dan Sungai Siput pada PRU13. – 20 Julai, 2017.
Komen