TIMBALAN Menteri Dalam Negeri Aziz Jamman berkata kerajaan tidak boleh buat tindakan melulu berhubung dakwaan bahawa seorang bekas menteri terlibat dalam skandal berhubung permit kerja warga Nepal.
Beliau memberitahu The Malaysian Insight, dakwaan tersebut perlu disahkan sebelum sebarang tindakan diambil ke atas individu berkenaan.
“Sebenarnya laporan polis pun tak ada buat lagi. Saya dapat maklumat ini pun berpandukan media sosial.
“Jadi selaku timbalan menteri saya tidak boleh membuat kesimpulan dengan mudah. Sebab itu saya cakap kalau ada laporan polis yang dibuat terhadap kes ini kita akan siasat dengan pasti.
“Setakat ini saya berkomunikasi dengan pegawai saya di peringkat kementerian, saya nak sahkan maklumat ini dulu,” katanya kepada The Malaysian Insight di lobi Parlimen hari ini.
Beliau berkata maklumat itu perlu disemak memandangkan banyak berita palsu beredar di dalam media sosial.
“Kalau dah sah maklumatnya sahih, sudah pasti saya akan arah IGP (Ketua Polis Negara Fuzi Harun) untuk siasat,” katanya.
Bekas menteri dalam negeri, Ahmad Zahid Hamidi semalam menyatakan kesediaannya untuk disiasat disiasat mengenai kegiatan syarikat yang didakwa menipu pekerja Nepal.
Kegiatan penipuan syarikat tersebut didakwa membolehkan syarikat itu mengaut sehingga RM185 juta (Rs5 bilion) sejak lima tahun lalu.
Zahid yang juga bekas timbalan perdana menteri berkata, tiada seorang pun ahli keluarganya terlibat dalam syarikat berkenaan.
Katanya, beliau tidak mengenali individu didakwa sebagai adik iparnya yang didakwa menjadi pengurus syarikat tersebut.
Syarikat itu pula, Bestinet Sdn Bhd menafikan semua tuduhan bahawa ia mempunyai kaitan dengan Zahid dan juga dakwaan ia menipu warga Nepal yang cuba mencari kerja di Malaysia.
Firma itu menjelaskan, laporan yang mendakwa perkara itu, seperti diterbitkan oleh Nepali Times pada 20 Julai adalah palsu.
Ia turut menegaskan Mohd Amin Abdul Nor yang merupakan pengasas dan pengerusi Bestinet bukan adik ipar Zahid seperti didakwa.
Ia juga menafikan saudara lelaki Zahid, Abdul Hakim adalah pemegang saham syarikat itu, begitu juga Azmi Khalid yang meletak jawatan sebagai pengarah pada Januari 2017.
“Malah, tiada seorang pun di Bestinet mempunyai kaitan dengan Zahid,” kata syarikat itu.
The Nepali Times pada Jumaat lalu mendakwa beberapa syarikat Malaysia termasuk Bestinet Sdn Bhd terlibat dalam kes penipuan dengan mengenakan caj tinggi
Laporan bertajuk “Kleptocrats of Kathmandu and Kuala Lumpur” itu menyebut caj berkenaan untuk pemprosesan visa dan ujian biometrik. – 24 Julai, 2018.
Komen