Wan Azizah kekal jawatan presiden Pakatan


Yasmin Ramlan

Dr Wan Azizah Wan ISmail tidak berasa ragu menyerahkan jawatan dalam parti kepada Anwar Ibrahim memandangkan kedudukannya di dalam Pakatan Harapan dan Kabinet tidak akan terjejas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Julai, 2018.

DR Wan Azizah Wan Ismail menegaskan tugasnya sebagai presiden di dalam Pakatan Harapan (PH) akan dikekalkan walaupun selepas melepaskan jawatan dalam parti kepada Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim.

Timbalan perdana menteri itu berkata beliau tiada keraguan untuk menyerahkan jawatannya kepada Anwar memandangkan kedudukannya di dalam PH dan Kabinet tidak akan terjejas.

“Tidak mengapa sebab kita rasa jawatan saya dalam PH tetap akan diteruskan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Anwar berkata, beliau akan bertanding pada pemilihan parti bagi jawatan presiden pada Ogos nanti.

Terdahulu hari ini, Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali berkata, kedudukan Wan Azizah dalam parti akan dibincangkan, namun peranannya masih diperlukan memandangkan beliau sudah lama terlibat dalam parti itu.

“Bagaimana beliau akan memainkan peranannya, kita akan bincangkan dahulu.

“Sudah pasti beliau ada peranan yang perlu dimainkan dan kita mahukan beliau terus aktif terlibat dalam parti,” katanya.

Sementara itu, bagi jawatan ketua umum yang bakal dikosongkan, Wan Azizah berkata belum dilakukan perbincangan mengenainya.

“Kita belum ada lagi perbincangan (mengenai jawatan ketua umum). Kita akan umumkanlah.

“Selalunya tidak ada jawatan ketua umum dalam sesebuah parti,” katanya. – 24 Julai, 2018.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen