Patriot berang tiada tindakan polis mengenai surat CIA


Alfian Z.M. Tahir

Presiden Patriot Mohamed Arshad Raji menyangkal dakwaan bahawa polis hanya boleh menyiasat selepas laporan dibuat. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 24 Julai, 2018.

PERSATUAN Patriot Kebangsaan (Patriot) mengecam polis kerana tiada siasatan dijalankan ke atas surat yang dikatakan dihantar oleh agensi perisikan kerajaan terdahulu kepada Agensi Risikan Pusat (CIA), dengan berkata ianya amat mengejutkan dan tidak boleh diterima.

“Hingga ke hari ini saya terkejut dan bingung kerana polis tidak menyiasat atau mengambil tindakan,” kata Presiden Patriot Mohamed Arshad Raji.

Beberapa hari lalu, salinan surat yang didakwa dihantar oleh Bahagian Penyelidikan di bawah pentadbiran terdahulu kepada Pengarah CIA Gina Haspel disebarkan oleh agensi-agensi berita.

Surat yang ditulis beberapa hari sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan ditandatangani oleh bekas pengarah bahagian penyelidikan tersebut, Hasanah Ab Hamid, secara terbuka meminta Amerika Syarikat menyokong pentadbiran Najib sekiranya keputusan pilihan raya itu sengit.

“Ini adalah satu pengkhianatan dan amat serius. Menghantar surat kepada CIA untuk meminta bantuan bukan isu kecil. Kenapa polis tak bertindak memang tak boleh diterima,” Arshad memberitahu The Malaysian Insight.

“Kalau mereka tak berminat, biar saya jadi IGP (ketua polis negara).”

Beliau turut menyangkal dakwaan bahawa polis hanya boleh menyiasat selepas laporan dibuat, dan berkata akan membuat laporan polis hari ini supaya siasatan dapat dipercepatkan.

“Memandangkan perkara ini serius, polis tidak memerlukan laporan rasmi untuk mulakan siasatan. Mereka boleh jalankan siasatan mereka sendiri.”

The Malaysian Insight cuba menghubungi Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun, Timbalannya Noor Rashid Ibrahim, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Persekutuan Wan Ahmad Najmuddin Mohd dan Pengarah Cawangan Khas Abdul Hamid Bador untuk mengulas, tetapi masih belum menerima sebarang respons.

Patriot sebelum ini telah mendesak pentadbiran Najib Razak menyiasat “penglibatan rahsia” firma perunding politik British, Cambridge Analytica pada PRU13.

“Mujurlah sebulan sebelum PRU14 Cambridge Analytica ada masalah untuk melombong data tidak sah pelanggan Facebook dan menutup perniagaannya.

“Episod gelap aktiviti rahsia Cambridge Analytica menjadi pengajaran kepada pegawai kita dalam perkhidmatan perisikan dan pasukan keselamatan,” kata Arshad.

Dalam surat tiga halaman yang Hasanah hantar itu, unit perisikan tersebut meminta CIA melaporkan kepada Setiausaha Negara AS mengenai “kesulitan mengurus” PRU14 dan “perlunya sokongan AS” kepada BN.

“Sebarang petunjuk bahawa kerajaan AS akan terus menyokong perdana menteri Najib dan pentadbirannya sudah pasti akan mengukuhkan kestabilan kami dan meningkatkan hubungan sedia ada yang didorong oleh hubungan erat antara kedua-dua pemimpin,” surat itu meyebut.

Surat itu juga merujuk Dr Mahathir Mohamad sebagai anti Barat, anti Semit, autokratik dan orang yang menggunakan kekerasan untuk melawan penentangnya. – 24 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen