PEGAWAI Cawangan Khas (SB), Sarjan Shamzaini Mohd Daud hari ini akan menyambung beri keterangan dalam siasatan awak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) terhadap kehilangan aktivis Amri Che Mat.
Isteri Amri, Norhayati Ariffin mendakwa ketika Shamzaini datang ke rumahnya di Padang Behor pada 12 Mei lalu, pegawai polis itu memberitahunya bahawa Bukit Aman terlibat dalam penculikan suaminya.
Dua minggu lalu, Shamzaini telah memberitahu siasatan Suhakam bahawa beliau menemui Norhayati untuk bertanya sama ada beliau boleh menyewa sebuah kedai di tempatnya.
Shamzaini berkata lagi, selepas memperkenalkan dirinya sebagai pegawai polis, Norhayati bertanya jika beliau tahu mengenai kehilangan Amri dan sama ada polis tahu mengenainya.
Beliau mendakwa Norhayati marah selepas memberitahu tidak tahu apa-apa mengenai kehilangan Amri.
Pada 14 Mei, Norhayati membuat laporan polis di IPD Shah Alam, mendakwa Shamzaini memberitahunya Bukit Aman terlibat dalam kes kehilangan suaminya.
Dua hari selepas itu, Shamzaini membuat laporan polis di Perlis, menafikan semua dakwaan Norhayati.
Amri didakwa disiasat kerana menyebarkan ajaran Syiah.
Amri hilang pada 24 November 2016, dipercayai diculik oleh sekumpulan orang menaiki kenderaan pacuan empat roda yang menghadang keretanya di Kg Padang Behor.
Siasatan awam Suhakam dipengerusikan oleh Pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai, Aishah Bidin dan Dr Nik Salida Suhaila Nik Saleh.
Panel itu bertujuan untuk menentukan sama ada penculikan Koh dan Amri, serta kehilangan dua yang lain – Joshua dan Ruth Hilmy – pada 2016, adalah kes kehilangan paksaan yang dilakukan pihak berkuasa negara ini.
The Malaysian Insight melaporkan perkembangan terkini sesi pendengaran hari ini.
4.10pm: Mah bertanya kenapa mahu buka kedai di tempat Norhayati.
Shamzaini berkata kerana tempat itu terletak 1km dari bandar.
Mah bertanya kepada Shamzaini ke mana lagi beliau mencari premis lain untuk buka bengkelnya.
Shamzaini berkata beliau mencari di Kuala Perlis, Berseri dan Kangar.
Siasatan awam itu berakhir dan akan bersambung pada 6 Ogos.
3.45 pm: Mah bertanya adakah Shamzaini pergi ke rumah Norhayati pada malam itu untuk menyewa kedai.
Shamzaini berkata beliau ke sana untuk berbincang tentang kedai tetapi Norhayati mengubah topik dan mula bercerita tentang Amri.
Mah bertanya adakah mereka bercakap tentang kedai dalam tempoh dua jam perbualan mereka, dan Shamzaini menjawab tidak.
3.25pm: Razlan bertanya kepada Shamzaini bukankah ia satu kebetulan kedai yang hendak disewanya itu milik Norhayati, dalam banyak-banyak tempat lain yang ada di Perlis.
Shamzaini menafikannya dan berkata beliau sudah meninjau kedai-kedai lain.
Razlan bertanya adakah beliau bertemu dengan Norhayati sebenarnya bukan untuk menyewa kedai tetapi bercakap tentang Amri.
Shamzaini menafikan.
Razlan kemudian berkata Shamzaini tahu tentang Norhayati sebelum bertemu dengannya, dan Shamzaini menafikannya.
2.55 pm: Razlan bertanya jika Shamzaini mendapat keizinan daripada ketuanya untuk membuka kedai.
Dua orang ketuanya mengizinkan, katanya.
Razlan bertanya pula adakah Shamzaini tahu siasatan Suhakam bermula pada Januari 2018, dan Shamzaini menjawab tidak tahu, malah tidak pernah mendengar mengenainya.
Kemudian Razlan bertanya Shamzaini berapa lama beliau berada di Perlis.
Sejak 2011, jawab Sahmzaini.
Peguam itu bertanya lagi, macam mana pula Shamzaini tidak pernah mendengar tentang penculikan Amri.
Shamzaini berkata beliau mendengar mengenai kehilangan Amri tetapi tidak tahu mengenai butirannnya.
2.30pm: Peguam keluarga Amri, Razlan Hadri bertanya kepada Shamzaini tentang bengkel yang hendak dibukanya di premis Norhayati di mana Parid Audio berada.
Razalan bertanya di mana bengkelnya.
Shamzaini berkata ia di Kedah dan beliau mahu memindahkannya ke Perlis di mana beliau bertugas.
Razlan bertanya adakah kedainya itu didaftarkan dan Shamzaini menjawab ya.
1.05 pm: Gomez memberitahu Shamzaini yang Norhayati menyebut beberapa nama pegawai tinggi polis yang terlibat termasuk bekas pesuruhjaya cawangan khas Awaluddin Jadid.
Peguam itu bertanya kepada Shamzaini jika beliau memberitahu Awaluddin mengenai dakwaan Norhayati.
Shamzaini menjawab tidak kerana tidak berada di Perlis.
Gomez kemudian bertanya lagi, tidakkah Shamzaini fikir perlu memaklumkan Awaluddin mengenainya kerana tuduhan Norhayati itu berat.
Shamzaini menjawab beliau tidak fikir beliau perlu memberitahu Awaluddin kerana perkara itu sudah diselesaikan dengan Norhayati.
Siasatan berhenti rehat.
12.45 pm: Gomez bertanya mengenai perjumpaan antara Shamzaini dan Norhayati pada malam di mana isteri Amri itu mendakwa beliau terlibat dalam penculikan Amri.
Gomez berkata menurut Morhayati, Shamzaini memberitahunya beberapa pegawai tinggi polis terlibat dalam penculikan Amri.
Shamzaini berkata Norhayati berbohong dan beliau tidak memberi sebarang maklumat.
Beliau juga berkata telah meminta Norhayati membuat laporan polis jika mendapat sebarang maklumat.
Shamzaini kemudiannya berpaling ke arah panel dan berkata ada membawa Al-Quran serta mahu bersumpah kerana itu adalah haknya.
Peguam keluarga Amri mencelah dan berkata siasatan ini bukanlah tempat yang sesuai untuk berbuat demikian.
Mah kemudian mencelah dan berkata Shamzaini sudahpun mengangkat sumpah, jadi tidak perlu bersumpah menggunakan Al-Quran.
12.25 pm: Gomez bertanya kepada Shamzaini jika betul beliau tidak berminat untuk mewarna keretanya apabila ke kedai Parid.
Shamzaini tidak bersetuju.
Kemudian Gomez berkata Shamzaini hanya mahu menggunakannya (mewarna dan menyewa kedai) sebagai alasan untuk nerjumpa Norhayati untuk tujuan lain.
Shamzaini tidak bersetuju.
Gomez kemudian bertanya adakah Shamzaini ada mewarnakan keretanya sejak ke kedai Parid pada 12 Mei.
Sahmzaini menjawab tidak.
Pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai bertanya kepada Shamzaini jika beliau ada membawa keretanya ke kedai lain untuk diwarnakan.
Sahmazaini menjawab tidak.
11.45am: Gomez bertanya Shamzaini jika Parid tahu beliau mahu menyewa kedai itu.
Shamzaini berkata tidak.
Gomez berkata dalam kenyataan Shamzaini sebelum ini pada dua minggu lalu beliau memberitahu panel siasatan yang ketika bercakap dengan Parid, beliau ingin menyewa kedai itu.
Shamzaini kemudian berkata beliau berbual kosong.
Gomez kemudian memberitahu Shamzani beliau tidak berminat untuk menyewa kedai itu.
Shamzaini tidak bersetuju.
11.20 am: Gomez bertanya bilakah Shamzaini berjumpa Norhayati.
Shamzaini berkata pada pagi 12 Mei, ketika Norhayati keluar dari rumahnya.
Gomez berkata menurut keterangan Norhayati, beliau tidak berjumpa sesiapa.
Kemudian Gomez bertanya apakah Shamzaini bercakap benar.
Shamzaini menjawab ya.
Gomez bertanya lagi, mengapa Norhayati menafikan berjumpa Shamzaini pagi itu.
Shamzaini menjawab beliau tidak tahu dan meminta Gomez bertanya kepada Norhayati.
10.55am: Gomez bertanya Shamzaini mengenai jawapannya yang beliau memperoleh nombor Parid Audio yang menyewa kedai di rumah Norhayati daripada sepanduk yang koyak.
Gomez bertanya Shamzaini jika beliau bersetuju nombor telefon Parid yang dihubungi tidak dapat dilihat daripada spanduk itu.
Shamzaini bersetuju.
Gomez kemudian bertanya sekali lagi bagaimana beliau mendapat nombor Parid.
Shamzaini berkata daripada sepanduk yang koyak.
Gomez kemudian bertanya Shamzaini bahawa Bukit Aman sudah mempunyai maklumat Parid dan orang lain sebelum penculikan Amri.
Shamzaini tidak bersetuju.
10.30am: Gomez bertanya Shamzaini jika beliau dapat melihat Perlis Hope dari jalan utama dan sebarang papan tanda sekarang.
Shamzaini berkata ada papan tanda sebelum ini tetapi kini tidak ada lagi.
Gomez berkata mengikut laman web Perlis Hope organisasi kebajikan itu ditubuhkan pada 2015.
Peguam itu kemudian menyatakan bagaimana Shamzaini boleh melihat papan tanda pada 2014.
Shamzaini berkata ia lebih kurang empat tahun lalu.
Sesi siasatan berhenti rehat.
10.15am: Gomez berkata menurut kenyataan Shamzaini, beliau tahu tentang kewujudan Perlis Hope empat tahun lalu.
Gomez bertanya bagaimana beliau tahu tentang Perlis Hope yang mana Shamzaini jawab berdasarkan kepada papan tanda di premis itu.
Peguam itu kemudian berkata tidak pernah ada papan tanda di premis pada masa itu dan Shamzaini mereka cerita mengenainya.
Shamzaini berkeras terdapat papan tanda di premis itu.
9.55 am: Gomez kemudian bertanya kepada Shamzaini bagaimana belaiau dapat menghubungi Perlis Hope dan rakan keluarga Amri, Aizat.
Kata Gomez, menurut kenyataan Shamzaini, beliau membuat carian mengenai Perlis Hope di Google selepas pemilik Parid Audio memberitahunya dan kemudian mendapat nombor hubungan Aizat.
Gomez berkata menurut log panggilan, Shamzaini mendapat nombor hubungan Aizat sebelum itu lagi.
Shamzaini kemudian berkata beliau membuat carian di Google mengenai Perlis Hope sebelum itu dan mendapat nombor hubungan tetapi tidak tahu nombor hubungan siapa.
Gomez bertanya kepada Shamzaini adakah beliau memberitahu keterangan berlainan.
Shamzaini menafikannya.
9.30 am: Pegawai Cawangan Khas Perlis Shamzaini Mohd Daud memberi keterangan.
Peguam Jerald Gomez yang mewakili keluarga Amri bertanya mengenai keterangan Shamzaini iaitu bagaimana beliau dapat menghubungi Perlis Hope.
Shamzaini berkata beliau mendapat nombor hubungan melalui Facebook.
Gomez kemudiannya memberitahu Shamzaini yang keterangannya kepada Suhakam menyatakan beliau mendapatnya dari Google.
Gomez bertanya kepada Shamzaini jika beliau dapat membezakan antara Google dengan Facebook.
Shamzaini berkata beliau menggunakan Google untuk mendapatkan pautan Facebook. – 24 Julai, 2018.
Komen