Khalid Salleh: Perginya seniman penjual ubat


Zainal Rashid Ahmad

Sembahyang jenazah arwah Khalid Salleh yang disertai ahli keluarga, sahabat handai dan peminat di Ampang, Selangor semalam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 24 Julai, 2018.

SAYA melihat Khalid Salleh pertama kali pada Jun 1984. Lokasinya di Laman Seni Wisma Yakin, Jalan Masjid India. Mengapa saya ingat bulan Jun? Tentulah kerana itulah bulannya saya lari dari sekolah di Alor Setar dan merantau ke Kuala Lumpur.

Anak rantau tidak akan ke mana-mana. Era 80-an hanya Chow Kit dan Masjid India akan jadi tumpuan. Jadi, ketika bermenung-menung di tembok Wisma Yakin, saya nampak Khalid. Dia sedang beraksi menjual ubat.

Siapa tidak kenal Khalid Salleh. Ketika itu namanya sudah tersohor. Dia dramatis hebat slot “Drama Minggu Ini” dan “Potret Pekerti” siaran RTM.

Khalid cukup bertenaga dalam persembahan teater jalanan cara menjual ubatnya. Produknya pula, makjun herbal kesihatan, ramuan warisan aruah ayahnya.

Pada era usianya lewat 30-an ketika itu, Khalid sudah terkenal sebagai aktor yang menjual ubat. Atau sebenarnya, lebih simbolik sebagai penjual ubat yang menjadi aktor.

Khalid hidup dalam tiga dunia seni yang popular. Selain dunia silamnya sebagai legenda penjual ubat di jalanan, Khalid juga pelakon filem berkelas Asia, seniman teater dan penyair kritik sosial yang prolifik.

Saya tidak berniat menulis biografi Khalid dalam saat kesedihan ini. Biografi Khalid sebagai aktor, pengarah teater, penyair dan seniman boleh ditemukan dengan mudah melalui carian Google.

Setelah tiga tahun menjadi peminat setia Khalid sebagai penjual ubat di Masjid India, akhirnya saya mendapat peluang minum teh bersamanya di Pasar Seni pada 1987. Ketika itu, Khalid selalu datang melepak di Restoran Hameed.

Seniman jalanan seperti Khalid pada penghujung 80-an pastinya akan menyertai rakan-rakannya senimannya membaca sajak di pedestrian Pasar Seni yang baru dibuka. Waktu itu, baca puisi bawah tiang lampu satu fenomena baharu yang menyemarakkan seni jalanan di Kuala Lumpur.

Tahun 1996, saya berpeluang menulis drama 13 episod berjudul “Raja Snuker”. Drama terbitan Astro dan diarahkan Adman Salleh.

Dalam drama itu, Khalid berlakon sebagai bekas juara snuker yang melatih bakat baharu bagi perjudian snuker bawah tanah. Turut berlakon ialah Hani Mohsin dan Haliza Misbun.

Di Pasar Seni sekitar 1987, saya kerap berpeluang berbual-bual dengan Khalid Salleh. Era itu, sangat ketara betapa Khalid lebih menyintai dunia teater berbanding drama TV atau filem. Jadi, yang panjang lebar diceritakan pada saya, tentulah idea-idea teaternya.

Semua cebisan kisah-kisah bualannya itu, kemudian terlihat pada teaternya Si Bereng-Bereng, Gong Gedombak, Pawang dan Kena Main.

Selepas itu, nama Khalid terus memuncak. Dia aktor tersohor. Sangat-sangat hebat sebab berjaya meraih Award Pelakon Lelaki Terbaik pada Festival Filem Asia Pasifik 1998 di Taiwan. Filem Jogho arahan Uwei Saari menjadikan Khalid setaraf P. Ramlee dalam konteks pencapaian lakonan berkelas Asia.

Tahun 2006, saya menerbitkan 104 episod program bersifat penerokaan alam mistik. Waktu itu, saya cadangkan pada Astro, hosnya mesti Khalid. Sebab Khalid secara peribadi memang pencinta alam mistik.

Kalau kami bertemu di mana-mana dan berkelapangan berborak, cerita mistiklah yang jadi tajuk perbualan. Khalid lebih matang dan mendalami alam mistik. Apa tidaknya, dia lahir dan dibesarkan oleh ayahnya yang mewarisi seni perbomohan mistik cara masyarakat Jawa.

Saya ada pengalaman menarik dengan Khalid mengenai hal mistik ini. Pada satu hari dalam tahun 2002, Gapena menganjurkan Ratib 1,000 Puisi untuk Malaysian Book of Records. Menjelang acaranya, petang itu cuaca nampak agak mendung.

Saya bertemu Ketua Satu Gapena, Ismail Hussein dan meminta izin dibenarkan berikhtiar mengalih hujan secara tradisional. Saya bimbang hujan lebat dan acara perasmian pada malam itu terpaksa ditunda. Alhamdulillah, Ismail tersenyum tanda mengizinkan.

“Wak,” kata saya: “Kena ikhtiar sesuatu. Kalau hujan turun, habis program pembukaan malam ini.”

Khalid tersenyum. Dia minta saya cari sehelai baju. Kemudian saya menyusul belakangnya dan berada di empat penjuru rumah Gapena.

Baju saya simpul dalam genggaman kedua-dua tangan. Khalid hanya melaungkan azan di tiap sudut laman Rumah Gapena. Alhamdulillah. Allah Maha Berkuasa. Mendung berlalu dan malam itu cuaca nyaman.

Ketika menjadi hos 104 episod program “Mistik” yang khusus mengenai alam ghaib di mana saya selaku penerbit eksekutif, Khalid sudah sangat senior dan dikategorikan sebagai artis tersohor waktu itu. Namun, banyak pengalaman mengenai disiplin yang dipelajari kru penerbitan saya.

“Aku yang tua pun datang awal,” kata Khalid. “Kamu yang muda-muda bangun pagi pun malas!”

Kru saya terperanjat. Sebab kalau call time 7.00 pagi, Khalid akan berada di lokasi 15 minit lebih awal dan sudah asyik menghafal skrip. Ada masa pula, skrip hanya diserahkan pada hari penggambaran.

“Macam kacang,” kata kru saya: “Dua kali baca Wak Khalid dah hafal. Kalau take pun… satu dua kali roll dah perfect.”

Kru penerbitan saya sebelum ini sudah berpengalaman bekerja dalam pelbagai penerbitan program. Bertemu segala macam jenis artis. Cuma saya fikir, Khalid akan mereka ingati sebagai bintang popular yang sangat menepati waktu.

Isnin lalu, sekitar 3.20 petang, Wak Khalid pergi meninggalkan dunia seni. Kerjaya yang saya fikir, tidak pernah dinikmatinya sebagai dunia glamor atau mengejar kemasyhuran. Khalid tidak hidup sebagai artis glamor atau bintang pop.

Dia memilih jadi seniman. Istilah yang lebih relevan sebagai gambaran sikapnya yang menghambakan diri pada dunia seni.

Apa tidaknya, hingga ke akhir upayanya, sebelum benar-benar uzur sejak enam bulan lalu, Khalid masih setia naik ke pentas Baca Puisi Pena pada setiap Jumaat minggu pertama awal bulan. Seperti selalu, dibacakan puisi-puisi protes sosialnya. Nada dan isi puisinya pula sentiasa keras dan kritis.

Khalid melakukannya dengan penuh semangat, tebal iltizam dan cekal berani. Dia masih melakukannya demi seni dan penuh dedikasi walaupun persembahannya secara percuma! – 24 Julai, 2018.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen