Tidak perlu laporan polis untuk siasat Bestinet, kata peguam


Alfian Z.M. Tahir

Nepali Times melaporkan Bestinet antara syarikat yang digunakan oleh ahli politik Malaysia dan Nepal bersekongkol untuk meraih untung daripada proses permohonan pekerja asing. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Julai, 2018.

PEGUAM menyelar Timbalan Menteri Dalam Negeri Azis Jamman kerana tidak mengambil tindakan berhubung dakwaan ke atas sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi yang dikatakan terlibat menipu warga Nepal yang memohon permit kerja di Malaysia.

Menurut mereka walaupun laporan polis bukan syarat perlu untuk pihak berkuasa memulakan penyiasatan, polis masih boleh bertindak atas laporan media sekiranya fakta yang dilaporkan benar.

“Tidak selalunya,” kata peguam Wong Kar Fai kepada The Malaysian Insight, ditanya mengenai kenyataan Azis yang polis menunggu laporan dibuat sebelum memulakan siasatan.

“Sekiranya maklumat itu betul dan sekiranya serius, polis boleh mulakan siasatan tanpa laporan.”

Zahid didakwa ada kaitan dengan Bestinet Sdn Bhd melalui adik ipar bernama Amin Abdul Nor, yang memiliki syarikat yang dilaporkan didukung oleh ahli politik berkuasa di Malaysia.

“Polis boleh menggunakan laporan media sebagai laporan maklumat pertama dan mereka malah boleh membuat laporan polis sendiri. Bukannya mandatori untuk memulakan penyiasatan dengan laporan polis,” jelas Wong.

Zahid menafikan ada kaitan dengan syarikat itu atau ada adik ipar bernama Amin Abdul Nor seperti yang dilaporkan portal berita Nepali Times kelmarin.

“Saya tak ada ipar nama Amin, saya tak ada saham satu sen di syarikat (itu), syarikat itu memang ada perniagaan sebelum saya masuk KDN (Kementerian Dalam Negeri),” kata Zahid semalam.

Peguam dan bekas ahli Parlimen Kapar, G Manivana yang setuju dengan Wong menambah kerajaan Pakatan Harapan mesti lebih proaktif untuk menyiasat dakwaan tersebut.

Manivanan menyifatkan kenyataan Azis sebagai “cerminan pemikiran Barisan Nasional” apabila menteri cenderung mengelak daripada bertanggungjawab dalam menghadapi dakwaan skandal.

“Kita kerajaan baru, oleh itu kita mesti ambil pendekatan baru. Jangan jadi macam Barisan Nasional apabila semuanya mesti ada laporan polis.

“Menteri yang baru dilantik mesti lebih proaktif dan tidak semestinya bergantung semuanya pada laporan polis. Sebagai peguam, saya setuju bahawa tidak semua kes perlukan laporan polis. Kalau ia serius, pihak berkuasa boleh ambil tindakan berdasarkan maklumat yang mereka ada,” kata ahli politik PKR itu.

Nepali Times melaporkan Bestinet antara syarikat yang digunakan oleh ahli politik Malaysia dan Nepal bersekongkol untuk meraih untung daripada proses permohonan pekerja asing yang disemak semula oleh Putrajaya.

Laporan itu mendakwa ahli politik, ahli perniagaan dan birokrat Nepal dan Malaysia mengaut lebih Rs5 bilion (RM185 juta) daripada rakyat Nepal yang mencari kerja di Malaysia.

Zahid dikatakan terlibat sejak lima tahun lalu ketika beliau, yang memegang jawatan menteri dalam negeri pada masa itu, menyumberluarkan proses pendaftaran visa kepada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd yang mempunyai sekutu di Kathmandu, Malaysia VLN Nepal.

Bestinet kemudian terlibat selepas itu untuk menjalankan pendaftaran biometrik pekerja asing.

Pada setiap peringkat permohonan, pendaftaran dan pemeriksaan kesihatan, pekerja Nepal ini dikenakan bayaran lebih daripada yang mereka bayar sebelum syarikat swasta dilibatkan dalam semua proses itu.

Dalam menafikan dakwaan laporan media itu, Zahid menegaskan beliau sedia disiasat.

Bestine juga menafikan terlibat dengan sindiket penyeludupan pekerja Bangladesh. Ia menegaskan syarikat itu bukan agensi pengambilan pekerja asing atau terlibat dalam proses pengambilan pekerja di Malaysia atau mana-mana negara penyumbang pekerja.

Dalam satu kenyataan malam tadi, firma itu juga mengatakan tiada seorang pun dalam syarikat itu mempunyai sebarang hubungan dengan Zahid, menegaskan bekas menteri itu tiada kaitan dengan firma itu sama ada melalui ipar atau atau adiknya.

Bestinet juga menafikan dakwaan artikel yang ia mengenakan bayaran kepada pekerja migran untuk mengimbas pasport, cap jari dan memuat naik data dalam talian.
Firma itu menuntut permohonan maaf daripada Nepali Times dan penarikan balik artikel itu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Peguam Selangor, Salim Bashir juga setuju dengan Wong dan Manivanan. Beliau berkata, polis boleh mengambil tindakan tanpa laporan polis.

“Laporan polis hanya untuk polis membuka kertas siasatan. Mereka boleh bertindak tanpa laporan polis. Tidak ada masalah,” kata pakar undang-undang jenayah itu.

Bekas pegawai pendakwa dan timbalan superintenden, G Selva juga setuju dan menegaskan  polis tidak memerlukan laporan rasmi dibuat untuk memulakan penyiasatan.

“Mereka bertanggungjawab untuk menyiasat apabila mereka tahu ada kesalahan dibuat. Itu perkara asas dalam kepolisian dan merangkumi peranannya mengesan kesalahan jenayah.

“Adalah mustahak untuk polis bertindak terhadap semua syak wasangka apabila kesalahan jenayah didedahkan melalui apa saluran komunikasi sekali pun,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Selva memberi contoh bagaimana polis menyiasat penemuan mayat dengan maklumat yang ada di lokasi tanpa perlu menunggu laporan polis dibuat mengenai penemuan itu.

“Malah carian, tangkapan dan rampasan boleh dibuat serta merta di tempat kejadian tanpa laporan rasmi polis.

“Kandungan laporan polis yang rasmi berserta tangkapan, rampasan dan lain-lain adalah laporan maklumat pertama. Ia keterangan yang diterima (di mahkamah).”

Selva berkata pendekatan ini selari dengan tugas asas dan proaktif polis.

“Setiap kali polis mengesan ada kesalahan disembunyikan, mereka bertanggungjawab memulakan siasatan dan melengkapkan kertas siasatan apabila kesalahan itu dikenalpasti mengikut undang-undang yang berkaitan.

“Polis tidak pernah dihalang atau tidak boleh ambil tindakan kalah kesalahan itu jelas. Mereka juga tidak perlu tunggu laporan rasmi,” tambah Selva. – 24 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen