Zawawi berharap pengundi bukan Islam di Sg Kandis lebih berfikiran terbuka


Bede Hong

Calon PKR Sungai Kandis Zawawi Ahmad Mughni berharap beliau diterima oleh masyarakat bukan Islam di kawasan berkenaan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Julai, 2018

CALON PKR Sungai Kandis Zawawi Ahmad Mughni meluahkan harapannya agar pengundi bukan Islam akan “berfikiran terbuka” dan menerima beliau sebagai wakil mereka. 

“Saya rasa latar belakang saya sebagai guru agama akan menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan bukan Islam,” kata Zawawi kepada 150 pengundi yang hadir pada ceramah di pejabat PKR Bukit Naga, di Shah Alam. 

“Namun saya percaya rakyat di Sungai Kandis ini matang dan berfikiran terbuka. Sesiapa sahaja yang berikan mandat, kita mempunyai kewajipan untuk menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin tanpa mengira warna kulit atau status,” katanya. 

Turut hadir pada sesi berkenaan Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar dan Adun Penanti Dr Norlela Ariffin. 

Zawawi merupakan pengetua Maahad Tahfiz Al Fateh, sebuah sekolah agama di Jalan Kebun. Beliau merupakan setiausaha biro Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR. 

Sungai Kandis merupakan kerusi majoriti Melayu yang terdiri daripada 72% pengundi Melayu, 16% pengundi India dan 12% pengundi Cina.

“Saya mengimbas kembali kata-kata Nabi Muhamad (S.A.W), contoh orang yang paling baik ialah seseorang yang berkhidmat dan membantu orang lain,” katanya. 

Zawawi turut mengimbas perngalaman bersama Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) yang mana beliau membawa belia untuk ke Selatan Thailand dan Sumatera bagi membuka minda mereka. 

“Dalam Islam, konsepnya ialah untuk menjadi terbuka dan mengajak orang lain ke dalam hidup kamu dengan kebaikan dan saya percaya ini adalah langah pertama ke arah membina semula negara daripada kesan perkauman dan prejudis.”

BN meletakkan ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam menentang Zawawi dan calon bebas yang merupakan pesara penjawat awam K. Murthy. Tarikh mengundi adalah pada 4 Ogos. 

Kerusi berkenaan kosong selepas penyandangnya Mat Shuhaimi Shafiei, yang juga bekas setiausaha politik bekas menteri besar Selangor Mohamed Azmin Ali, meninggal dunia kerana kanser limfoma 2 Julai lalu. 

Pada 9 Mei lalu, Shuhaimi mendapat 23,998 undi dan  menang dengan majoriti 12,480 undi. Calon BN Kamaruzzaman Johari mendapat 11,518 undi manakala calon PAS Yusof Abdullah mendaoat 7,573 undi. Calon PRM Hanafiah Husin hanya mendapat 76 undi daripada 50,800 pengundi. – 23 Julai, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen