Tindakan Nurul Izzah selamatkan Pakatan Harapan


The Malaysian Insight

Tanpa inisiatif Nurul Izzah Anwar bertemu Dr Mahathir Mohamad di London bagi menyelesaikan masalah berkaitan pihak pembangkang, ia mungkin akan kekal sebagai 'Pakatan Harapan + Bersatu'. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Julai, 2017.

TINDAKAN Nurul Izzah Anwar terbang ke London dan bertemu Dr Mahathir Mohamad pada 3 Julai lalu berjaya menyelamatkan gabungan pembangkang. Beliau boleh dianggap sebagai wira Pakatan Harapan (PH). Tanpanya, ia mungkin akan kekal sebagai “PH + Bersatu”.

Perkara ini diceritakan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail kepada The Malaysian Insight selepas kepimpinan PH dan strukturnya dibentuk dengan rasmi 13 Julai lepas.

“Ketika Nurul Izzah bertemu Dr Mahathir di London, beliau diberitahu bernasib baik kerana Dr Mahathir ingin memberitahu Muhyiddin (Yassin) agar menulis surat kepada PH berkenaan keputusan kami,” kata Saifuddin.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berada di London untuk bertemu peguam ayahnya Anwar Ibrahim manakala Dr Mahathir pula menyambut Aidilfitri bersama anak dan cucunya di sana.

Menurut Saifudin, ketika itu Bersatu sudah membuat keputusan untuk tidak menyertai PH tetapi memutuskan untuk menjalankan kerjasama pilihan raya (electoral pack) sahaja selepas mesyuarat demi mesyuarat gagal memutuskan struktur kepimpinan gabungan itu.

“Apabila Nurul Izzah berjumpa Dr Mahathir dan memaklumkan PKR bersetuju melantik beliau sebagai pengerusi PH, segala-galanya selesai,” kata Saifuddin merujuk kepada perbincangan panjang dan panas yang berlangsung dalam PH berkenaan perkara itu.

Bersatu berpendapat Dr Mahathir perlu dipilih sebagai pengerusi bagi membolehkan PH dilihat didominasi kaum Melayu, penduduk majoriti negara ini, selepas dimomokkan DAP yang memimpin gabungan politik baru itu.

PKR pula mencadangkan Dr Mahathir sebagai penasihat bersama Anwar manakala presidennya, Dr Wan Azizah Ismail sebagai pengerusi. Sementara itu, Amanah dan DAP pula boleh menerima Dr Mahathir sebagai pengerusi.

Kata sepakat kemudian dicapai dengan Anwar dilantik menjadi ketua umum, Dr Mahathir sebagai pengerusi manakala Wan Azizah sebagai presiden.

Saifuddin mengakui, perbezaan pendapat berlaku dalam PKR dan Bersatu tentang hubungan mereka dengan PAS.

Sebahagian pemimpin Bersatu berpendapat, mereka perlukan kerjasama pilihan raya saja dengan PH tanpa perlu menyertainya, bagi membolehkan kerjasama pilihan raya juga dibuat dengan PAS.

“Namun Dr Mahathir sangat jelas. Bersatu perlu bersama dalam PH bagi membolehkan pembangkang bergabung menggunakan satu logo, manifesto dan calon dalam pilihan raya akan datang jika mahu menang melawan BN,” katanya.

Menurut Saifuddin, apa yang berlaku dalam Bersatu juga berlaku di dalam PKR di mana sebahagian pemimpinnya berpendapat kerjasama dengan PAS perlu diadakan bagi memastikan satu lawan satu berlaku walaupun selepas PAS memutuskan hubungan.

“Dalam PKR pun ada perbezaan pendapat ini sehingga masih ada yang mahukan kerjasama pilihan raya dengan PAS walaupun ia sudah banyak memaki PKR.

“Malah, apabila PAS lancarkan jentera merampas Permatang Pauh, mereka tidak rasa apa-apa dan masih boleh bekerjasama,” katanya merujuk kepada kerusi Parlimen yang diwakili Wan Azizah dan Anwar sebelum ini.

PAS melancarkan jentera pilihan rayanya di kawasan Parlimen paling utama milik PKR yang sinonim dengan pemimpin utamanya, Anwar pada 16 Julai lalu di Kubang Semang.

Kira-kira 500 ahli dan penyokong tiba menyaksikan Naib Presiden PAS Idris Ahmad melancarkan jentera melalui ikrar dan baiah (akujanji) demi kemenangan PAS. – 20 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen