BN belum mati lagi, kata Wee


Andrew Chin

MASA depan Barisan Nasional (BN) kni terletak di tangan tiga parti, perlukan banyak perbincangan sebelum ia boleh diisytihar ‘mati’, kata Timbalan Presiden MCA Wee Ka Siong.

Wee berkata persoalan mengenai status BN tidak boleh dijawab semudah “ya atau tidak” kerana ia memerlukan perbincangan lanjut.

“Sama ada BN wujud atau tidak, saya fikir kita perlu membincangkannya dengan lebih rasional,” beliau memberitahu pemberita di Parlimen apabila ditanya apakah rancangan MCA untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Balakong menggunakan logo sendiri menandakan berakhirnya gabungan itu.

Ahli Parlimen itu ditanya mengenai kenyataan Presiden MCA Liow Tiong Lai, selepas Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi berkata MCA akan mewakili gabungan itu pada PRK Balakong berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Eddi Ng dalam kemalangan jalan raya Jumaat lalu.

Wee berkata Liow hanya berkata yang ia mungkin satu kemungkinan.

“Apabila presiden bercakap mengenai isu ini, beliau kata ‘mungkin’, jadi ada kemungkinan. Dan presiden juga berkata beliau akan bangkitkan isu ini dalam mesyuarat.”

Beliau juga percaya Liow tidak akan membuat kenyataan itu tanpa menerima maklum balas dari akar umbi parti.

BN kini hanya terdiri daripada Umno, MCA dan MIC, iaitu parti asal dalam gabungan pra-merdeka yang dipanggil Perikatan.

BN yang sebelum pilihan raya umum pada 9 Mei lalu mempunyai 13 parti, namun tinggal tiga selepas parti selebihnya berpihak kepada Pakatan Harapan yang membentuk kerajaan Persekutuan. – 23 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen