Keputusan injunksi kontraktor terowong bawah laut pada 14 September


Looi Sue-Chern

Timbalan Presiden Parti Cinta Malaysia Huan Cheng Guan menunjukkan senarai pengarah konsortium Zenith yang termasuk peguamnya dalam kes, di luar Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight, 20 Julai, 2017.

MAHKAMAH Tinggi Pulau Pinang akan memutuskan injunksi difailkan kontraktor terowong bawah laut Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd untuk menghentikan Timbalan Presiden Parti Cinta Malaysia, Huan Cheng Guan daripada membuat kenyataan mengenai projek tersebut bakal dibuat pada 14 September.

Hakim Rosilah Yop menetapkan tarikh di dalam kamarnya pagi ini, kata peguam Huan Baljit Singh.

Beliau berkata Mahkamah Tinggi juga akan memutuskan saman balas Huan terhadap konsortium kerana memfitnah.

Beliau berkata hakim itu juga menolak afidavit baru oleh plaintif semalam, kerana ia lewat difailkan.

Afidavit itu mengenai kenyataan berterusan Huan mengenai projek terowong, walaupun disaman kerana memfitnah berkaitan perkara itu.

“Kami juga membangkitkan bantahan yang peguamcara plaintif sendiri adalah pengarah di Zenith, dan Consortium Zenith BUCG adalah syarikat yang tidak lagi wujud.

“Syarikat itu sejak 18 Januari tahun ini menukar namanya kepada Consortium Zenith Construction. Huan bercakap mengenai Zenith BUCG yang tidak lagi wujud,” kata Baljit kepada wartawan.

Konsortium itu diwakili peguam Harjinder Singh.

Konsortium Zenith BUCG Sdn Bhd, yang memenangi tender terbuka pada 2013 untuk membina terowong bawah laut yang menghubungkan George Town dan Butterworth di tanah besar serta tiga jalan utama lain bernilai RM6.3 bilion, menyaman Huan kerana memfitnah dan memfailkan injunksi untuk menghentikannya daripada bercakap mengenai projek itu tahun lepas.

Pengerusinya Zarul Ahmad Mohd Zulkifli berkata pada tahun lepas, kenyataan media Huan adalah fitnah, kerana didakwa membahayakan projek itu dan reputasi konsortium; dan juga secara langsung memberi kesan kepada rundingan berterusan serta masa depan dengan pelabur berpotensi masa kini dan hadapan.

Walaupun kes itu belum selesai, konsortium itu menukar namanya kepada Consortium Zenith Construction Sdn Bhd selepas penyingkiran rakan kongsi, Beijing Urban Construction Group Co Ltd (BUCG) tahun lepas, selepas kemalangan maut di Kuala Lumpur dalam projek berkaitan firma dari China itu.

Dalam pada itu, Huan membalas saman fitnahnya terhadap Consortium Zenith BUCG.

Huan hari ini menegaskan tiada siapa harus dihalang daripada menimbulkan persoalan mengenai projek terowong dan lebuh raya.

“Projek ini adalah kepentingan awam, bukan projek kecil. Ia melibatkan berbilion ringgit. Kenapa ia tidak boleh dipersoalkan apabila melibatkan kerajaan Pulau Pinang ini?” Katanya, merujuk kepada prinsip kecekapan, akauntabiliti dan ketelusan negeri.

Huan juga berkata bukan hanya beliau seorang yang bertanya tetapi menjadi satu-satunya yang didakwa.

“Berlaku adil. Ada juga menteri yang bercakap tentang projek itu seperti Fadillah dan Rahman Dahlan,” katanya.

Menteri Kerja Raya Fadillah Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional, Abdul Rahman Dahlan serta timbalan pengarahnya, Eric See-To juga turut mempersoalkan bayaran tinggi yang dibayar kepada perunding projek itu.

Huan menambah beliau merancang membuat laporan mengenai projek itu di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Putrajaya esok petang. – 20 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen