Najib nafi RM470 juta untuk parti berpunca daripada 1MDB


Yasmin Ramlan

Bekas perdana menteri Najib Razak berkata wang RM470 juta itu tidak boleh dikatakan datang dari 1MDB kerana kes itu masih dalam siasatan SPRM. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Julai, 2018.

BEKAS perdana menteri Najib Razak menafikan wang berjumlah RM470 juta yang dipindahkan kepada parti dari akaunnya berpunca daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Katanya, wang itu tidak boleh dikatakan berpunca dari 1MDB kerana kes itu masih dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Itu masih dalam siasatan. (Saya) tidak boleh katakan ia dana 1MDB. Jadi sumber dana itu mesti disahkan dengan jelas. Serahkan kepada siasatan.

“Ia bukan dari dana 1MDB kerana setahu saya cek tersebut tidak datang dari 1MDB,” katanya apabila ditanya sekiranya wang itu akan dipulangkan jika ia daripada sumber 1MDB.

Najib berkata demikian kepada pemberita di bangunan Parlimen hari ini.

Beliau mengulas gesaan penasihat DAP Lim Kit Siang minggu lalu agar parti komponen Barisan Nasional (BN) memulangkan semula wang tersebut jika ia diambil dari 1MDB.

Lim merujuk kepada dana RM470 juta yang didakwa dipindahkan dari salah satu akaun peribadi Najib kepada Umno, MCA, Gerakan, SUPP dan parti lain BN antara April 2012 dan Ogos 2013.

Lim membangkitkan perkara itu berdasarkan satu laporan Malaysiakini yang mendakwa Umno menerima RM417.4 juta diikuti oleh MIC sebanyak RM20.55 juta dan MCA sebanyak RM16.5 juta.

Malaysiakini melaporkan, parti-parti di Malaysia Timur seperti LDP, Upko dan PBRS, termasuk PPP dan IPF juga menerima dana dari akaun Najib. – 23 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen