KETUA Umno Bahagian Sungai Besar Jamal Yunos diberi amaran oleh hakim kerana mengeluarkan kenyataan tak berasas dalam mahkamah terhadap kumpulan pendesak perubahan pilihan raya, Bersih 2.0 dalam perbicaraan saman fitnah hari ini.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Zaki Abdul Wahab mengarahkan bekas ketua kumpulan Baju Merah itu supaya mengelak daripada mengeluarkan spekulasi tentang mengapa Bersih tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
“Ini mahkamah undang-undang. Awak tak boleh buat kenyataan tanpa bukti. Ini bukan kedai kopi,” kata Zaki, sebelum peguam Jamal, V Mugunthan bangun cuba untuk menjelaskan perkara itu.
“Duduk. Bukan giliran awak (untuk bercakap). Ini adalah hak hakim. Awak tak boleh kata apa sahaja tanpa ada bukti menyokong,” balas Zaki.
“Apabila buat dakwaan tentang sesuatu ia tertakluk untuk disoal balas kemudian, ia perlu disokong bukti.”
Jamal, yang jadi orang buruan sebelum ditangkap di Jakarta awal bulan ini sedang dibicarakan kerana memfitnah bekas pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah sebagai ejen militan Kumpulan Negara Islam Syria dan Iraq (IS).
Di mahkamah hari ini, Jamal mengaku tiada sebarang bukti dari RoS dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi menyokong dakwaannya mengenai Bersih.
Sebaliknya, beliau berkata kenyataannya mengenai Bersih dan Maria telah dikumpulkan dari media sosial dan artikel-artikel dalam talian.
Ini termasuk artikel mengaitkan suami Maria, Yunus Lebai Ali yang merupakan aktivis dan bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), dengan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO).
“Niat saya supaya pihak berkuasa berjaga-jaga dengan kehadiran ramai peserta Bersih yang boleh menyebabkan kekacauan dan keganasan serta gangguan ketenteraman awam. Rekod terdahulu turut menunjukkan berlakunya kerosakan ke atas harta benda awam dan kerosakan harta benda polis,” kata Jamal dalam keterangan saksinya.
Jamal yang memakai kot hitam dan berkemeja biru, kelihatan tenang semasa pemeriksaan balas dengan peguam utama Maria, N. Surendran. – 23 Julai, 2018.
Berita penuh di sini.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Alisya sofea · Ulasan