Gaya hidup LGBTQ masih tertakluk kepada undang-undang, kata menteri


Looi Sue-Chern

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof Rawa yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal Islam memetik Seksyen 377A Kanun Keseksaan dan Seksyen 25,26 dan 28 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) untuk menafikan kerajaan mesra LGBTQ. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Julai, 2018.

WALAUPUN hak asasi mereka tidak boleh dinafikan, gaya hidup kumpulan lesbian, gay, biseksual, transgender dan “queer” (LGBTQ) di Malaysia masih tertakluk kepada undang-undang sekular dan Syariah yang melarang aktiviti mereka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof Rawa yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal Islam memetik Seksyen 377A Kanun Keseksaan dan Seksyen 25,26 dan 28 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan).

Seksyen 377A menyatakan yang hubungan seks luar tabii adalah salah, dan seksyen dalam akta Syariah itu secara jelas melarang liwat, musahaqah (lesbian) dan lelaki berpakaian seperti wanita.

“Semua ini bermakna hak komuniti itu untuk gaya hidup mereka masih tertakluk kepada undang-undang yang melarang aktiviti sebegitu dilakukan di Malaysia.

“Jangan putar belit kata-kata saya atau menuduh kerajaan Pakatan Harapan mesra LGBTQ di mimbar masjid,” katanya ketika sesi soal jawap di Dewan Rakyat pagi tadi.

Beliau menjawab soalan Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) dan Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) tentang apakah rancangan kerajaan terhadap budaya LGBT di Malaysia yang penduduknya majoriti beragama Islam.

Mujahid berkata, pada masa sama, kerajaan juga akan terus membela hak asasi rakyat Malaysia termasuklah komuniti LGBTQ seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi negara.

Beliau menegaskan yang LGBTQ tidak boleh ditindas atau didiskriminasikan di tempat kerja.

“Hampir 80% ‘mak nyah’ (transgender) di Malaysia terlibat dalam industri seks.

“Jika kita terus mendiskriminasikan mereka di tempat kerja, mereka akan terus berada dalam industri (seks) itu, sedangkan hasrat kerajaan adalah untuk mengeluarkan mereka,” katanya.

Menyentuh mengenai pelaksanaan undang-undang ke atas kumpulan berkenaan, Mujahid berkata ia adalah bidang kuasa pihak agama negeri, bukannya kerajaan persekutuan. – 23 Julai, 2018.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen